Skip to main
Logo Malaysiakini

XPDC tak kisah digelar Raja Karnival demi peniaga Melayu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kumpulan XPDC langsung tidak berasa terhina walaupun jika kumpulan rock itu digelar Raja Karnival ekoran kekerapan mereka beraksi di tapak-tapak seumpama itu di seluruh negara.

Pemain bass kumpulan itu, Zuar, bahkan berkata mereka berasa puas kerana langkah tersebut dapat membantu kegiatan ekonomi peniaga Melayu.

Jelas Zuar, kehadiran mereka di tapak-tapak karnival semakin menunjukkan tanda positif apabila berlaku pertambahan pengunjung, sekali gus meningkatkan perniagaan orang yang terlibat di kawasan terbabit.

“Dulu kami dilabel Raja Fun Fair tapi sekarang mungkin orang dah boleh gelarkan kami Raja Karnival.

“Misalnya di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dulu, kedai mamak berdekatan yang tak menyewa sebagai peniaga tapak karnival pun dapat untung.

"Jadi, kalau kedai mamak yang di luar premis karnival pun untung apatah lagi yang menyewa di tapak itu," katanya.

Zuar (kanan) bersama anggota lain (dari kiri) Jeff, Ary dan Amy

Menurut Zuar maklum balas daripada peniaga juga secara keseluruhan berkata perniagaan mereka semakin baik.

"Kesan beginilah yang dimahukan kerana kami ikhlas nak menolong mereka (peniaga Melayu) berniaga,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut Zuar berkata walaupun bayaran yang diterima tidak setinggi seperti persembahan di sesebuah konsert, XPDC sememangnya tidak memilih sebarang tawaran.

Zuar atau nama penuhnya Azuar Md Tasi berkata, kumpulan itu memang sudah menganggap apa saja yang diusahakan boleh menjadi sumber pendapatan.

Sudah buat pilihan

Malah katanya kekerapan mengadakan persembahan di tapak karnival juga sudah mencukupi untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Sekurang-kurangnya dua hingga empat persembahan di tapak karnival sebab kami sudah buat perjanjian dengan penganjur tapak karnival untuk membantu peniaga-peniaga Melayu.

“Tapi harganya berbeza daripada bayaran untuk persembahan konsert. Persembahan kami di tapak karnival adalah lebih santai.

“Kalau dah namanya untuk konsert, jadi gaya persembahan juga akan berbeza kerana itu kan perniagaan kami,” katanya.

Zuar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Search Voyage of Asia di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya semalam.

XPDC bakal memanaskan pentas konsert Search di Educity Sports Complex, Johor Bahru bersempena Hari Rock Negara Edisi Selatan pada 24 dan 25 Nov ini.

Vokalis XPDC, Ary

Turut menganggotai XPDC Kita Pengyu adalah Amy sebagai pemain dram, Jeff (gitar) dan Ary (vokalis).

Sementara itu mengulas kehadiran vokalis baru, Ary, yang mengisi kekosongan Allahyarham Mael, Zuar berkata, keserasian bersama bekas penyanyi band Fahrenheit itu wujud ketika Mael masih ada.

Katanya, Ary sudah melakukan persembahan bersama XPDC sejak 2020 lagi.

“Orang masih fikir kami ada banyak pilihan lagi. Tapi sebenarnya kami sudah memilih.

“Ary banyak menggantikan Mael jika arwah tak dapat buat persembahan kerana masalah kesihatan,” katanya.