Skip to main
Logo Malaysiakini

Dior gugurkan Bella Hadid bukan sebab sokong Palestin

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jenama terkenal antarabangsa, Dior tidak memecat Bella Hadid susulan kelantangan supermodel terkenal itu dalam menyuarakan sokongan terhadap Palestin dan Hamas.

Semakan Associated Press (AP) mendapati jenama mewah itu mengakhiri kontrak Bella pada Mac lalu.

“Menurut sumber, kontrak ditamatkan sebelum konflik terbaru antara Hamas dan Israel.

“Walaupun May Tager satu daripada model dikentengahkan dalam kempen Dior 2023, dia juga pernah muncul dalam kempen versi 2022 - kedua-dua iklan juga menampilkan pelakon terkenal Anya Taylor- Joy,” kata laporan itu.

Untuk rekod, sejak awal lagi, Bella yang mewarisi darah Palestin daripada bapanya, Mohamed Hadid tidak mempedulikan kedudukannya sebagai selebriti dalam memberikan sokongan kepada Palestin.

Dia dikatakan lantang mengkritik kerajaan Israel sejak dinamakan sebagai duta jenama untuk alat solek Dior pada 2016.

Selepas berita mengenai Hamas dan Israel tercetus baru-baru ini, Bella pada 23 Oktober lalu, memuat naik kenyataan dia meratapi kehilangan nyawa penduduk Gaza selain menggesa pengikut-pengikut di media sosial untuk menekan pemimpin dunia melindungi mereka.

Pengguna media sosial kemudian mengaitkan nama May apabila Dior mengeluarkan kempen mereka keesokan hari susulan kenyataan Bella itu.

Wajah Bella pula dikatakan digantikan dengan May, seorang model berketurunan Israel.

“Dior menggantikan Bella Hadid dengan model Israel,” kata ciapan yang meraih lebih daripada 11,000 tanda suka di X.