Jasmine Suraya masuk akademi elit di LA
Pelakon Jasmine Suraya Chin berasa bangga apabila dia menjadi satu-satunya anak Malaysia diterima melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi seni terkenal Lee Strasberg Theatre and Film Institute, di Los Angeles (LA).
Jasmine yang merancang untuk berlepas ke sana Disember ini mengakui sudah lama memasang impian untuk menyertai akademi seni lakon berkenaan yang pernah melahirkan alumni terkemuka seperti Al Pacino, Maryline Monroe, Angelina Jolie, Chris Evan, Scarlett Johansson dan Lady Gaga.
“Saya anak Sarawak pertama dan satu-satunya dari Asia tahun ini yang diterima masuk. Bukan mudah untuk melanjutkan pelajaran di sini.
“Setiap calon perlu menduduki ujian, temuduga dalam talian serta melampirkan kertas kerja berkaitan,” katanya.
‘Kerja gila’
Justeru, demi memastikan dia dapat memberi tumpuan, anak kelahiran Sarawak itu rela mengambil cuti daripada kerjaya lakonan selama setahun.
Kata Jasmine, 33, demi menyambung pelajaran, dia juga sanggup menyimpan wang bagi muncul sebagai antara pelakon hebat yang boleh mencipta nama di Hollywood dan Eropah.
“Mungkin ada yang rasa ini kerja gila, saya berehat sekejap dari dunia lakonan di saat sedang terima banyak tawaran berlakon seperti di Indonesia, tapi saya nekad.
“Saya tahu wang itu penting, tapi melanjutkan pengajian adalah impian saya sejak kecil tambahan mengidolakan pelakon seperti Michelle Yeoh yang mencipta nama di luar.
“Saya sanggup ketepikan kemewahan hidup kerana nak menyimpan dana ke sana tambahan sikap ingin tahu bagaimana nasib saya selepas ini sekiranya dapat berguru dengan mereka yang hebat-hebat.
“Apakah saya juga mungkin boleh jadi seorang yang hebat suatu hari nanti,” jelasnya.
Jasmine berkata demikian pada majlis pengumuman khas diadakan di sebuah restoran di Ampang hari ini.
Pujuk hati kuatkan semangat
Untuk rekod, Jasmine menghantar permohonan masuk ke Lee Strasberg Theatre and Film Institute sekitar April lalu dan menerima berita kemasukannya pada Julai tahun ini.
Pelakon itu bakal menjalani tempoh pengajian selama setahun di LA.
Sebagai persiapan ke akademi tersebut, Jasmine terpaksa menolak tawaran filem daripada produksi Indonesia.
“Tak mengapalah, saya pujuk hati dan kuatkan semangat kerana jangka masa setahun itu tak lama pun sebenarnya.
“Ini peluang sekali seumur hidup,” katanya yang bakal tampil dengan sebuah filem arahan seorang pengarah lokal terkenal di Hong Kong tidak lama lagi.
Namun, sebelum terbang ke sana, pelakon itu mengakui bakal berdepan cabaran besar terlebih dulu terutama dari segi menanggung kos perbelanjaan.
Katanya, dia turut memohon beberapa dana daripada badan berkaitan bagi membantu mengurangkan bebanan perbelanjaan.
“Saya sedang tunggu makkum balas daripada beberapa badan berkaitan bagi membantu menampung perbelanjaan.
“Permohonan dibuat sejurus saya dapat tahu berita kemasukan ke institusi itu.
“Cuma kalau ada tak ada, saya gunakan saja simpanan yang ada,” jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai