Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Membaca propaganda politik dengan seni filem

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Bolehkah seni seperti filem menjelaskan fenomena aneh mengapa Chin Peng, "Lim Kuan Yew" dan Lim Kit Siang disepupukan dalam satu ucapan?

Jawapannya, boleh. Maka tulisan ini akan menjelaskan - dari aspek seni perfileman - tentang sebab dan musabab mengapa hal-hal bengong seperti ucapan berunsur kebencian daripada seorang ustazah PAS itu didiamkan pengikut.

Tulisan ini juga akan cuba memberikan jawapan mengapa sindrom gemar melakukan pembodohan massa itu wujud dalam kalangan beberapa pimpinan PAS.

Ada tiga aspek penting dalam seni filem yang harus diperhatikan untuk memahami konteks yang dijelaskan tulisan ini iaitu watak, dialog dan mise en scene.

Kemunculan watak seorang ustazah dengan kelulusan doktor falsafah dalam pengurusan dan pembangunan Islamik itu bukanlah suatu kebetulan atau sesuatu yang tidak disengajakan.

Bak kata Franklin Roosevelt: “Dalam politik, tiada apa yang berlaku secara kebetulan. Jika ia berlaku, ia sememangnya telah dirancang sedemikian.”

Selain berkelulusan tinggi, watak itu juga seorang watak dihormati kerana memiliki kerusi sendiri di Dewan Rakyat. Justeru dia wajib tampak polos dan biar terserlah sifat lurus bendul.

Ia perlu dipersiapkan begitu supaya apa saja tindakan atau perkataan yang datang daripada watak itu mendapat jutaan simpati.

Kesan mendalam

Biarlah watak itu dikecam siang malam oleh orang yang masih ada kewarasan fikiran, bagi pendukung PAS watak sebegitu tetap memiliki sensasi semula jadi yang tersendiri.

Sensasi yang dimaksudkan tentulah kerana 'keberaniannya' menanggalkan pertimbangan akal fikiran sehingga tergamak menghamburkan yang begitu sukar untuk diterima akal.

Maka jangan hairan kalau ada penyokong PAS mengangkat watak ustazah itu setinggi yang menyamai Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Aspek kedua ialah dialog. Ia memiliki fungsi yang cukup besar dalam filem. Sepertimana digariskan Irwin Blacker dalam bukunya, The Elements of Screenwriting: A Guide for Film and Television Writers.

Dialog tidak hanya jadi penyuluh kepada gambaran perwatakan yang samar dan jalan bagi menggambarkan momen sejarah lampau. Dialog juga penting sebagai penggerak cerita serta proses mengatmosferakan suasana filem yang dipanggil mise en scene.

Bahasa dan perkataan yang digunakan pula mestilah sesuatu yang mampu memberikan dampak besar serta kesan mendalam.

Dalam konteks ucapan tokoh PAS itu, dialog yang diperlukan ialah sesuatu yang dapat menyentuh deria rasa orang ramai sehingga akan ada yang berasa mereka adalah sebulu, sekufu dan satu.

Lantas nama ketua komunis Malaya dan nama bapa pengasas Singapura bersama deretan nama-nama Cina DAP pun dibeberkan hingga disepupukan dan diperanakbuahkan.

“Semua yang saya sebut ni wujud lagi ke dekat Malaysia hidup lagi tak? Hidup.

"Nak sebut apa, agenda mereka satu keluarga sentiasa berjalan dan sentiasa melahirkan pengkaderan-pengkaderan dalam kalangan ahli keluarga serta parti mereka.”

Dalam seni filem, watak seperti ustazah dengan kelulusan doktor falsafah pengajian Islam yang melantunkan ucapan kebencian seperti itu tidak datang dengan ruang kosong.

Seni sebagai propaganda

George Orwell, pengarang novel terkenal Animal Farm pernah menulis satu esei. Katanya, sedikit atau banyak apa saja yang namanya seni adalah propaganda.

Watak yang mencipta peristiwa dungu sebegitu tentu diisi dengan cerita yang membawa naratif tertentu dengan tujuan-tujuan politik tertentu juga. Hal-hal itulah yang dipanggil propaganda.

Kalau dalam filem hal-hal propaganda itu dimiliki oleh pengarah. Dialah yang akan mengorkestrakan niat, pemikiran, falsafah dan ideologi ke dalam filem melalui mise en scene.

Secara mudah mise en scene ialah apa yang dapat kita lihat pada layar sesebuah filem. Ia merangkumi shot, komposisi peletakan watak dalam babak, reka bentuk pakaian, solekan, bunyi, pencahayaan, dan juga reka bentuk set babak yang mahu divisualkan.

Kalau kita menonton filem seperti Battleship Potemkin (Sergei Eisenstein, 1925); Birth of a Nation (D W Griffith, 1915); Triumph of the Will (Leni Riefenstahl, 1935); The Great Dictator (Charlie Chaplin, 1940); atau paling tidak Tanda Putera (Shuhaimi Baba, 2013) dan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (Syamsul Yusof, 2022) tentu saja kita menghidu sejenis propaganda.

Ia dibentuk melalui watak, bergerak dari dialog dan membentuk atmosfera visual yang tujuannya adalah untuk mengubah tanggapan pada nilai, sikap dan tingkah laku masyarakat.

Ia ada disebutkan bekas ahli parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, melalui buku Modul Latihan Panduan Propaganda terbitan Sekolah Komunikasi Politik Malaysia.

Kata Budiman, propaganda merupakan "teknik pemujukan dengan memanfaat lisan, tulisan, foto, simbol, dan muzik supaya sasaran mengikuti apa yang dihasratkan oleh propagandis. Ia dilakukan dengan cara mendoktrin idea, mencipta peristiwa tertentu, dan menanamnya secara sistematik.”

Kerana itulah naratif Chin Peng, semangat kecinaan "Lim Kuan Yew" dan kebencian terhadap Lim Kit Siang bersama DAP itu digaul, dipersaudarakan, disedarahkan dan disepupukan dengan komunis serta segala titik bengik kecinaan.

Justeru bagi mencari jawapan kepada 'misteri' mengapa hal-hal bengong bukan saja boleh didiamkan bahkan digemari, ia boleh diambil dari aspek ilmu perfileman.

Kalau seandainya kalian masih ragu dengan penjelasan ini, lihat saja pada detik watak ustazah itu disoal para wartawan.

"Tonton video sampai habis. Saya tidak perlu menjawab soalan yang tidak tahu fakta," katanya.


HARIS HAUZAH ialah peminat filem perang yang ingin melihat dunia bebas daripada peperangan dan pertumpahan darah.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.