Skip to main
Logo Malaysiakini

Noah abadi momen ‘terakhir’

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Demi menunaikan janji, kumpulan terkenal Indonesia, Noah hadir di lokasi lebih besar untuk meraikan peminat mereka baru-baru ini.

Memilih Mega Star Arena Kuala Lumpur sebagai tempat mengabadikan momen ‘terakhir’ di negara ini, Noah ternyata puas apabila kedatangan mereka disambut lebih 5,500 penonton.

Justeru, pada konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur itu, vokalis Noah, Ariel atau nama sebenar,  Nazril Irham membuka bicara dengan merakamkan penghargaan buat penyokong setianya dan memaklumkan hasrat mereka untuk berehat panjang.

“Lokasi tahun lalu terlalu kecil, jadi malam ini kami buat di tempat lebih besar.

“Biarpun tempat ini besar, ia tetap kelihatan masih kecil kerana ramai sangat yang hadir.

“Ini akan jadi persembahan kami yang terakhir sebelum bercuti panjang. Kita mempunyai sejarah bersama untuk dikenang malam ini,” katanya membuka bicara.

Ariel, 42, berkata, malam itu juga akan akan dikenang sepanjang ketiadaan mereka dalam industri nanti.

“Hampir hampir 20 tahun kami menyanyi, memang kami akan rindu kamu semua yang tak jemu-jemu memberi sokongan luar biasa,” katanya.

Pada tahun lalu, Noah menerima rungutan apabila tiket disapu licin dalam tempoh dua jam selepas kaunter dibuka dan mengakibatkan ramai peminat tidak berpeluang menyaksikan persembahan mereka di Zepp, Kuala Lumpur ketika itu.

Pada konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur itu, band berkenaan mendendangkan 26 lagu antaranya Bintang Di Surga, Ada Apa Denganmu, Menunggumu dan Tak Bisakah.

Selain Ariel, Noah turut dianggotai Lukman (gitaris) dan David (keyboard).

Persembahan seawal jam 8.50 malam itu dibuka dengan persembahan lagu Topeng.

Mengambil kesempatan untuk mempromosikan lagu baru, Noah juga memberi kejutan apabila menghadiahkan buah tangan berjudul Suara Dalam Kepala yang dinyanyikan secara duet dengan penyanyi rap, Joe Flizzow.

Lebih mengujakan apabila seorang peminat bertuah yang hanya dikenali dengan nama Syuhada terpilih untuk ke pentas dan diajak Ariel menyanyi lagu Ini Cinta bersama-sama.

Ariel mencuri perhatian apabila bukan satu sebaliknya memberikan lapan kuntum mawar kepada peminat berkenaan sekali gus membuatkan peminat lain yang hadir seolah-olah berasa cemburu melihat aksi mereka.