Skip to main
Logo Malaysiakini

Aedy Ashraf tak rasa megah kerana berhenti sekolah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon Aedy Ashraf mengakui kekangan didepaninya suatu ketika dulu pernah memaksa dia berhenti sekolah, namun ia bukanlah satu tindakan yang dibanggakannya.

Malah dia juga menasihatkan remaja ketika ini agar tidak menjadikan tindakannya dulu itu sebagai ikutan.

Kata Aedy jika dia tidak berdepan isu kewangan, sudah pasti dia tidak akan mensia-siakan peluang untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi masa depan.

“Saya tak pernah cakap pendidikan tak penting. Pendidikan sebenarnya amat penting untuk setiap orang. Ia satu proses yang takkan pernah berakhir dalam kehidupan.

“Saya cuma tak cukup bertuah, itu saja. Saya tak dilahirkan dalam keluarga yang memiliki keistimewaan, itu saja halangan untuk saya belajar.

“Jadi, kalau kamu ada rezeki dan selagi ada minat, belajarlah sebab ia sangat penting,” katanya.

Menurut Aedy, 30, dia mempunyai sebab untuk menyimpan rahsia peribadi itu hingga lebih 10 tahun.

Kata pelakon Tentang Bulan itu, dia seboleh-bolehnya tidak mahu jejak langkah suatu ketika waktu dulu menjadi ikut-ikutan peminat yang masih muda.

“Ya, itu sebab saya simpan rahsia ini selama 13 tahun. Ia kerana saya tak mahu beri mesej negatif kepada adik-adik di luar sana.

“Mereka inilah yang ramai menjadi pengikut saya di laman sosial seperti Instagram dan Twitter,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, War On Terror: KL Anarki di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Sebenarnya takut tempat tinggi

Karya arahan Kroll Azree dan Frank See dan mendapat sokongan Polis Diraja Malaysia itu berkisahkan sekumpulan pengganas diketuai Lang (Qi Razali) meletupkan sebuah stesen kereta api di Pantai Timur.

Pasukan khas unit antipengganas polis ketuai oleh SAC Rahman bersama anggotanya Khalid, Anis, Zack dan Bob kemudian diarahkan untuk menyiasat.

Selain Aedy, turut menjayakan filem itu ialah Daiyan Trisha, Farali Khan, Adlin Aman Ramli, Wan Hanafi Su dan Noki K-Clique.

War On Terror: KL Anarki bakal ditayangkan di pawagam Malaysia dan Brunei mulai 23 Nov ini.

Sebelum ini dalam sebuah wawancara dikendalikan Amelia Henderson mendedahkan dia berhenti sekolah semasa tingkatan empat sekali gus menyebabkannya tidak mengambil SPM.

Bagaimanapun, Aedy berkata, dia langsung tidak menyesal dengan keputusan yang diambil walaupun dalam keadaan terpaksa kerana tetap gigih memajukan diri sendiri melalui cara alternatif.

Malah, katanya, dia juga pernah menghantar permohonan untuk melanjutkan pengajian di Akademi Filem New York (NYFA) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Saya tak menyesal sebab apa yang berlaku dalam hidup saya sebelum ini sudah tertulis. Bagaimanapun, saya bersyukur sebab ada keluarga yang selalu menyokong.

“Walaupun tak ada rezeki sambung belajar, saya banyak mengikuti kelas dalam talian yang mengajar asas perfileman serta menambah ilmu dengan baca buku berkaitan.

“Saya juga memohon untuk NYFA, tapi disebabkan perintah kawalan pergerakan, hasrat itu tak kesampaian,” katanya.

Mengulas watak digalasnya dalam War On Terror: KL Anarki, Aedy yang memegang peranan utama sebagai Khalid berkata, semua aksi ngeri dilakonkan sendiri termasuk terjun dari tingkat 13 bangunan.

Katanya, dia rela mengambil risiko itu walaupun tiada sesiapa memaksanya berbuat demikian kerana mahu mencuba pengalaman baru.

“Sebenarnya saya penakut tinggi, rasa gayat, sepanjang penggambaran tak pandang bawah. Dah habis baru tengok bawah dan kata: oh tingginya!

“Saya sentiasa cuba cabar diri bukan setakat dalam filem aksi tapi semua genre.

"Dalam drama pun sama, saya akan keluar dari zon selesa untuk cuba perkara baru.

“Untuk filem ini saya banyak merujuk pelakon seperti Chris Hemsworth yang berlakon dalam The Extraction,” katanya.