Skip to main
Logo Malaysiakini

Colours for Gaza semarakkan semangat solidariti penggiat seni

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Program Colours for Gaza yang dianjurkan oleh sebuah galeri seni di Kuala Lumpur menghidupkan semangat solidariti dalam kalangan penggiat seni di Malaysia.

Menurut penganjur dan juga pengarah Galeri Puteh, Mohd Nizam Rahmat, program yang menghimpunkan 90 seniman dari seluruh negara itu adalah sebuah program kebajikan bagi mengumpul dana untuk tabung rakyat Palestin.

“Matlamat utamanya ialah untuk memberi kesedaran dan tindak balas artis terhadap isu Palestin.

“Tercetusnya program ini adalah kerana nada artis bersama seni ini sebenarnya mantap. Dari segi tindak balas dan memberi kesedaran kepada orang ramai,” kata Nizam ketika ditemui di majlis perasmian semalam.

Tambah Nizam, pihak galeri tidak mengambil sebarang keuntungan daripada hasil jualan lukisan dalam program itu.

“Biasanya artis dengan galeri (bahagi keuntungan) 50-50, kalau untuk pameran biasa. Kali ini pihak galeri tak ambil, kita anjurkan sahaja, buat kebajikan,” katanya.

Jelas Nizam, antara nama besar yang menyertai pameran itu ialah penyanyi dan penulis lirik M Nasir dan pelukis visual Ahmad Fuad Osman.

Ahmad Fuad, ketika ditemui meluahkan rasa gembira kerana majlis perasmian pameran itu semalam mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Setakat ini sambutan daripada orang ramai adalah baik, sebab salah satu tujuannya kita nak menarik minat orang ramai dan menunjukkan semangat solidariti dalam kalangan artis.

“Kita mengharapkan apa yang kita buat ini akan memberi kesan kepada rakyat. Kita nak menggalakkan orang ramai terus bercakap tentang isu ini (Pelastin) kerana trend dan semangatnya semakin menurun.

“Jadi, dengan usaha sebegini kita mengharapkan gema itu masih kekal,” katanya.

Ahmad Fuad turut menyumbangkan sebuah lukisan untuk pameran seni itu dan lukisannya sudah pun terjual semasa majlis perasmian.

Sementara itu, Nizam berkata keuntungan jualan lukisan semasa majlis perasmian semalam adalah sangat memberangsangkan dan hasil jualan tersebut akan disalurkan sepenuhnya ke tabung dana Palestin.

“Saya suka dan gembira. Kawan-kawan turut gembira dapat menjayakan program ini kerana kita adalah galeri seni pertama yang menjalankan program sebegini,” kata Nizam.

Program pameran lukisan yang bertemakan Palestin ini dijalankan selama seminggu bermula dari 14 Nov sehingga 21 Nov di Galeri Puteh, KL Eco City Mall di Kuala Lumpur.

Seniman lain yang akan bersama di pameran tersebut antaranya, Abdul Mansoor Ibrahim, Tajuddin Ismail, Bayu Utomo Radjikin, Abu Bakar Idris, Juhari Said, Faizal Suhif, Jalaini Abu Hassan, Fauzul Yusri, Suzlee Ibrahim, Ramlan Abdullah, Rafiee Ghani, Kide Baharudin, Ika Sharom, Stephen Menon, Samsuddin Wahab, Hamir Soib, Faisal Tehrani, Amar Idris dan Intan Rafiza.