Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembunuh Along Spoon terlepas hukuman penjara sepanjang hayat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang banduan yang dipenjara kerana membunuh penyanyi terkenal era 1990-an, Allahyarham Along Spoon, hari ini terlepas daripada hukuman penjara sepanjang hayat.

Lima hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan Mohd Ya’cob Demyati dan meminda hukuman itu kepada penjara selama 33 tahun.

Pada 10 April 2002, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhi hukuman mati ke atas tertuduh selepas mendapati dia bersalah sepenuhnya dalam kejadian pembunuhan penyanyi Rindu Serindu-Rindunya itu.

Selepas permohonan dikemukakan kemudian, lembaga pengampunan membenarkan petisyen rayuan Mohd Ya’cob untuk dia dihukum penjara sepanjang hayat.

Dia yang kini berusia 57 tahun ditangkap pada 4 Jan 2000.

Hari ini Utusan Online melaporkan lima hakim yang bersidang itu menerima permohonan semakan hukuman ke atas pesalah terbabit.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya, Mohamad Zabidin Mohd Diah; serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Hasnah Mohammed Hashim, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Hakim-hakim terbabit bersidang pada hari kedua pendengaran permohonan semakan hukuman mati. Ia berlangsung empat bulan selepas penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.