Skip to main
Logo Malaysiakini

Sharnaaz dilepas, dibebas dari pertuduhan tumbuk pengawal kondo

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sharnaaz Ahmad hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur daripada pertuduhan menumbuk pengawal keselamatan yang juga penghuni kondominium dalam kejadian 16 Jun tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan menerima representasi dikemukakan pelakon itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim berkata, Sharnaaz dilepas dan dibebaskan manakala wang jaminan dikembalikan.

Sebelum itu, timbalan pendakwa raya Nadia Eleena Jamaluddin memohon supaya pelakon The Original Gangster itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan.

"Saya dapat arahan HQ (AGC) DNAA terhadap OKS, itu saja puan," katanya dipetik BH Online.

Sharnaaz, 38, yang juga pelakon filem Darah Panas didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Sharnaaz memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah ini.

"Satu representasi dihantar ke pendakwaan dan pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya menarik balik pertuduhan terhadap (Sharnaaz).

"Dalam kes ini pengadu sudah menarik balik kes ini dan laporan polis telah dibuat, oleh itu satu keputusan DNA perlu diberikan," katanya.

Sementara itu, Sharnaz ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata banyak pengajaran dilaluinya selepas lebih setahun dia turun naik mahkamah.

Katanya, hal itu lebih-lebih lagi membabitkan soal reputasi dan perjalanan kariernya sebagai pelakon.

“Akan datang kena pikiaq (fikir) banyak kalilah, tak mau buat perangai lagi. Saya banyak belajar dan akan terus belajar.

"Saya rasa kena tengok balik diri saya. Saya nak masuk 40 (tahun) dah, perangai masih macam budak lagi.

"Apa jadi dalam hidup saya satu story (cerita), saya rasa kalau tutup buku, story saya akan jadi menarik," katanya.