Skip to main
Logo Malaysiakini

Mawar, Raf sepakat cerai demi kebaikan bersama

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pasangan Mawar Rashid dan Raf Yaakob mencapai kata sepakat untuk berpisah atas dasar tiada lagi persefahaman dalam rumah tangga.

Pelakon itu dan Raf - atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob - berkongsi mengenai perkara itu melalui hantaran di Insta Story hari ini selepas berjanji untuk memberi penjelasan semalam.

“Kami berdua bersetuju untuk berpisah atas dasar tiada persefahaman. Saya dan Raf masih berbaik-baik seperti selalu,” kata Mawar.

Tambahnya walaupun sudah tidak hidup berpasangan, fokus utama mereka berdua tetap kepada tiga cahaya mata mereka.

“Fokus utama kami pada waktu ini adalah menyediakan sokongan dan kasih sayang yang diperlukan anak-anak.

“Kejayaan penjagaan bersama (anak-anak) amat penting dan itu adalah sesuatu yang kami sedang usahakan. Insya Allah,” katanya.

Terdahulu, Mawar dan Raf yang juga adik kepada penyanyi dan cef selebriti, Fazley, dilaporkan sepatutnya ke mahkamah syariah untuk memfailkan penceraian mereka semalam.

Spekulasi punca penceraian itu berlaku dikatakan ekoran Mawar kembali kepada imej asalnya yang tidak bertudung baru-baru ini.

Mawar atau nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid mendirikan rumah tangga dengan Raf pada 9 Nov 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata bernama Raden Muhammad, 4; Raden Seri Rosabella Cinta, 2; dan Raden Seri Riyanna.

Pada perkongsian sama, Mawar dan Raf berkata, perceraian itu adalah keputusan yang mengecewakan, namun mereka percaya ia adalah demi kebaikan bersama.

Justeru, mereka meminta agar pengikut menghormati keputusan dibuat serta mengelak daripada membuat spekulasi.

“Tolong terima kenyataan ini daripada kami berdua. Kami berharap anda semua boleh menghormatinya.

“Kepada pengikut di media sosial, kami berharap anda semua mendoakan yang baik-baik untuk kami berdua. Tolong jangan buat spekulasi dan sebarkan perkara negatif,” katanya.