Skip to main
Logo Malaysiakini

Uqasha dituduh tak jaga batas jumpa Azhar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Keterujaan Uqasha Senrose untuk berkongsi detik manis pertemuan dengan Azhar Idrus bertukar sebaliknya apabila dia menuai kecaman gara-gara dituduh tidak menjaga batas.

Hal itu kerana dalam pertemuan tersebut Uqasha dituduh gagal menjaga jarak dan batas apabila dia dikatakan seolah-olah berdiri tanpa jarak dengan Azhar.

Ketika itu sebenarnya Uqasha hanya berada bersebelahan dengan pendakwah terbabit.

Uqasha berkata, tidak wajar mana-mana individu yang tidak mengetahui situasi sebenar melemparkan dakwaan terhadapnya.

Katanya walaupun seorang pelakon dan sering dilihat dari sudut negatif, dia tahu batas yang perlu dijaga khususnya membabitkan seorang personaliti agama.

“Tak perlu kot mulut itu memandai kalau tak ada dekat tempat itu.

“Sudut dan sisi awak tengok itu nampak macam itu. Saya tahu batas saya.

“Cuba tengok betul-betul, saya langsung tak rapat dengan ustaz (Azhar), tolong jangan main cakap saja,” katanya sebagai respons pada ruang komen di Instagram miliknya.

Tambah Uqasha, sudut dan sisi imej yang dilihat membuatkan mereka kelihatan rapat walaupun sebenarnya tidak kelihatan demikian.

Menguatkan lagi kenyataannya, isteri Kamal Adli itu turut memuat naik satu lagi imej berbeza yang menunjukkan jarak sebenar antara dia dan Azhar.

“Ini dari sisi lain tak nak orang fitnah saya cakap rapat (berdiri) tak tentu pasal. Haih, lain macam la manusia ni,” katanya.

Sementara itu, Kamal pula mengukuhkan lagi kenyataan isterinya dan yakin Uqasha tidak melakukan sebarang kesalahan.

Dia juga menjelaskan bahawa Uqasha dilihat keterlaluan hanya kerana gambar yang dirujuk itu dirakam dari sudut yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Sebagai suami, kata Kamal, sekiranya Uqasha berbuat sebarang kesilapan dia terlebih dulu akan memberi teguran.

“Sabar yang lain, kalau rapat sangat saya yang tegur siap-siap dah.

“Itu angle kamera saja, jangan mudah nak menaip itu ya.

“Kalau rapat sangat pun, lari dah ustaz itu. Dahlah cukuplah korang. Apa pun ustaz terbaik, insya-Allah,” katanya.