Skip to main
Logo Malaysiakini

Aeydan dibayangi persepsi penyambung legasi Rabbani

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Apabila Aeydan disebut-sebut sebagai penyambung legasi Rabbani, kumpulan nasyid baru itu mengakui banyak persepsi negatif mula menghimpit.

Pun begitu, menurut ketua kumpulan Aeydan, Mohd Izwan Izzudin, mereka sudah lali dengan keadaan tersebut terutama apabila dikatakan sekadar menumpang nama Rabbani.

Katanya, hal itu juga tidak dapat dielakkan kerana kumpulan Aeydan memang asalnya terdiri daripada anak-anak anggota Rabbani sendiri.

“Kalau sebut sebagai pengganti Rabbani, ia satu terma yang cukup besar buat kami, jadi memang boleh wujud pelbagai persepsi.

"Antaranya orang akan berkata kami ini meniru Rabbanilah, pakai kabel bapalah.. semua itu memang tak boleh buat apa sebab memang itu ayah kami.

"Kami dilahirkan oleh Rabbani sendiri, kami semua adalah anak-anak anggota Rabbani,” katanya.

Justeru, apabila melahirkan single sulung berjudul Bintang sebulan lalu, anak kepada Azadan Abdul Aziz itu berkata, Aeydan sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Mohd Izwan Izzudin

Katanya, klip video Bintang yang mendapat sentuhan kreatif dan terbitan bersama Daqmie serta Wan Saleh itu diiringi tarian ringan malah mengandungi rentak muzik ala K-pop.

“Apabila kami cuba K-Pop irama nasyid, malah lagu itu juga diiringi tarian, kami dah bersedia sekiranya ia mendapat kritikan.

“Pergerakan itu sebenarnya sudah dimasukkan sejak kami menyertai nasyid pada zaman sekolah lagi, tinggal untuk kami komersialkan saja.

“Dari segi lagu, apa kami lakukan adalah satu perubahan genre nasyid zaman sekarang,” tambahnya ketika ditemui pada majlis graduasi Kem Mutawwif Integrasi Haramain (KMIH) yang diadakan di sebuah hotel di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Cuba ‘lari’ dari Rabbani

KMIH melakar sejarah apabila melahirkan 42 graduan pertama mutawif yang diiktiraf.

Program itu bertujuan memberi peluang kepada sesiapa yang ingin menjadi mutawif dan mutawifah (wanita) bermula seawal usia 18 tahun.

Selain Mohd Izwan, turut menganggotai Aeydan adalah anak keempat Allahyarham Asri Ibrahim, Muhammad Ilham Fikri selaku vokalis utama; Muhammad Farhan Islah dam Mohammad Fardeen Imran (anak Rithauddin), Muhammad Arif Haikal (anak Rahmat), dan Muhammad Alif Ihsan (anak Nazrul).

Untuk rekod, Aeydan yang tampil dengan genre world music dan lagu-lagu kerohanian berharmoni pada asalnya digelar Rabbani Junior.

Pemergian Asri pada 2009 mencetuskan idea untuk mencari pelapis Rabbani.

Selepas tamat pengajian, mereka kembali aktif dan merancang untuk dikenali sebagai Aeydan.

Walaupun sering mengadakan persembahan bersama Rabbani, Mohd Izwan berkata, Aeydan berusaha untuk berdikari dan enggan asyik dibayangi populariti bapa mereka.

Bintang adalah eksperimen kami untuk 'lari' dari gaya Rabbani. Dengan cara ini peminat tahu Aeydan boleh bergerak dengan cara sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Izwan berkata, Aeydan bakal muncul dalam Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0 di Zepp Kuala Lumpur pada 2 Dis ini.

Katanya, konsert anjuran Rabbani Empire Resources dengan kerjasama Intermedia Production itu adalah persembahan ketiga Aedan di depan khalayak setakat ini.

“Kami akan mengadakan persembahan pada konsert itu yang juga sebagai tanda solidariti bersama Palestin.

“Selain Aeydan, turut menjayakan konsert tersebut adalah Mawi, Zizi Kirana, Rabbani dan Adib Nahar,” katanya.