Skip to main
Logo Malaysiakini

Dikaitkan macam 'panasnya' Coldplay, Aina kata tak paksa...

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Disamakan seperti Coldplay - band didakwa sesetengah pihak sebagai mempromosi elemen LGBT - Aina Abdul nampaknya tidak melatah malah menjelaskan kekeliruan yang terjadi ekoran konsertnya baru-baru ini.

Didakwa ramai lelaki yang berpakaian menyerupai wanita dalam persembahan tersebut Aina berkata memang ada tema pakaian yang dinyatakan buat pengunjung.

Pun begitu penyanyi Jangan Mati Rasa Itu menjelaskan dia tidak bermaksud mahu menggalakkan atau memaksa peminat lelaki hadir dengan menggayakan imej yang melanggar kehendak agama.

“Saya gementar apabila ditanya soal seperti ini kerana saya bukanlah orang yang pakar dalam bidang ini mahupun sesuai untuk jawab kerana ia menyentuh soal agama, gender dan kontroversi.

“Namun, apa saya boleh katakan ialah saya tidak mempromosikan sebarang mesej sedemikian (LGBT) malah tak pernah keluar mesej atau kenyataan dari mulut saya bahawa saya sokong golongan itu.

"Tak pernah sepanjang kerjaya dan sepanjang karier Aina Abdul.

“Bagi saya, ini adalah identiti masing-masing... terpulang bagaimana mereka mahu mengggambarkan diri masing-masing dan ia di luar kawalan saya,” katanya.

Itu tanda sayang

Tegas Aina, 30, selagi pakaian yang digayakan itu tidak membawa ancaman keselamatan terhadap orang lain, dia tidak berhak melarang atau mengatur pilihan mereka.

Tambahnya, dia menyayangi semua peminatnya tanpa mengambil kira latar belakang identiti mereka.

“Tak kirahlah mereka perempuan atau lelaki atau lain-lain, kerana mereka beli dan sokong produk saya termasuk beli tiket konsert.

“Itu juga tanda mereka sokong dan sayang saya.

“Selagi pemakaian segelintir peminat itu tak mencetuskan keganasan atau mengancam nyawa seseorang, saya tak akan masuk campur untuk menghalang,” katanya.

Aina berkata demikian pada majlis pengumuman Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Konsert anjuran Neptune Presents itu dijadual berlangsung di The Theatre at Mediacorp yang dapat memuatkan 1,800 penonton, pada 6 Jan tahun depan.

Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena pada 18 Nov lalu mengundang polemik apabila ramai peminat hadir menyerupai Aina kerana tema pakaian yang ditetapkan penganjur.

Tema pakaian yang bertajuk Aina Abdul itu membuatkan ramai peminat bereksperimentasi untuk menjadi seperti Aina dengan menggayakan imej seperti dirinya.

Pun begitu, tema pakaian tersebut mencetus rasa kurang senang pengguna X misalnya apabila ada yang menyamakan Aina seperti Coldplay.

Mereka juga menyatakan rasa kurang senang apabila konsert Coldplay pada 22 Nov lalu dicadangkan segelintir pihak agar dibatalkan gara-gara didakwa mempromosi LGBT serta boleh mengakibatkan akidah seseorang terpesong.

Mengulas lanjut, Aina berkata, langkah peminat menggayakan pakaian seperti dirinya secara tidak langsung membawa rezeki kepada orang lain.

“Apabila saya dapat tahu ada peminat sanggup berhabis wang buat baju macam saya untuk konsert di Axiata, ia buka rezeki pada pereka yang pernah mereka cipta pakaian saya sebelum ini.

“Saya mahu ketengahkan pereka pakaian tempatan kerana ia sesuai dengan inovasi saya,” katanya.

Sementara itu, mengulas konsert di Singapura nanti, Aina berkata, tugasnya agak mudah apabila bekerjasama dengan Neptune Presents.

Katanya dari sudut harga jualan tiket pula ia amat bersesuaian selepas dibuat perbandingan.

“Ini adalah konsert luar negara yang pertama untuk saya. Dah lama impikan konsert di Singapura, pernah ke sana tapi menyanyi bersama di acara artis lain.

“Jadi, kali ini ia adalah penghormatan buat saya biasanya peminat yang belanjakan wang untuk datang jumpa saya kali ini saya jumpa mereka.

“Dari segi harga tiket pula kami buat perbandingan dan rasa ia adalah amat bersesuaian selepas kaji semua harga tiket konsert sebelum ini,” katanya.