Skip to main
Logo Malaysiakini

Konsert dangdut Milenia ditunda elak 'bara menyala'

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Merungkai persoalan kurang enak membabitkan konsert Milenia, penganjurnya berkata, mereka mengambil pendekatan menunggu suasana 'panas' dalam dunia hiburan reda sebelum mengumumkan tarikh baru acara tersebut.

Pun begitu kali ini penganjur beranggapan langkah tersebut dibuat dengan kerelaan hati demi melihatkan keadaan semasa yang mungkin tidak memihak kepada mereka.

Pengarah Projek Mission Sight Sdn Bhd, Riezman Khuzaimi, berkata hal itu susulan sikap meluap-luap segelintir pihak terhadap sebarang program hiburan terutama membabitkan konsert band Coldplay baru-baru ini.

“Saya lihat kecaman netizen kini berada pada tahap melampau. Jadi, saya tak mahu mengapi-apikan lagi situasi kerana nanti jadi lebih teruk.

“Biarlah situasi reda dulu. Kita pun tahu berderet-deret penganjuran konsert artis luar di negara ini termasuk band Coldplay, sampai saya sendiri pun tak jadi pergi menonton, burned (sia-sia) saja tiket,” katanya.

Ditanya mengapa tidak diteruskan saja konsert berkenaan memandangkan realitinya memang saban minggu konsert artis dalam dan luar negara berlangsung, Riezman menjawab: “Benda lain saya boleh ‘langgar’ tapi kalau Palestin, saya tak sanggup.”

Riezman pada masa sama menolak dakwaan dia ‘koyak’ gara-gara isu penganjuran konsertnya itu mahupun ada yang mendakwa genre dangdut sudah tidak relevan sekarang.

“Saya tak koyak, kalau ada orang cakap artis cepat koyak apabila dikecam, itu salah. Artis macam saya dah lali, kalau buat baik pun dikecam, buat salah lagi kena kecam.

“Bagi saya, bukan masalah genre dangdut tak relevan kerana ia sesuai didengar sampai bila-bila," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Syif Malam, di sebuah kompleks beli belah malam tadi.

Filem terbitan Empire Film Solution dan Thinkerbell Studios Sdn Bhd itu diinspirasikan daripada kisah pekerja yang mencari rezeki pada waktu malam dan selalu berhadapan gangguan yang menyeramkan.

Selain Riezman, turut menjayakan naskhah yang bakal menemui penonton pada 7 Dis itu ialah Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Ismeth dan Mili Supina.

Baru-baru ini, Konsert Milenia dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 25 Nov namun ditangguhkan demi menghormati penderitaan dan keperitan rakyat Palestin yang berdepan keganasan Zionis.

Tak mungkin batalkan

Sebelum itu konsert tersebut sudah ditunda dua kali, antaranya atas sebab menghormati sambutan Maulidur Rasul pada 28 Sept lalu.

Untuk rekod, Konsert Milenia yang menggabungkan penyanyi Malaysia dan Indonesia itu pada asalnya dikenali sebagai Konsert Goyang Asia Koplo Milenia namun kemudian ditukar bagi mengelak persepsi lucah.

Antara artis yang sepatutnya membuat persembahan ialah penyanyi Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-kelepek dan Rheyna Morena, selain artis Malaysia, termasuk Amelina dan Ani Mayuni.

Riezman menjelaskan memang ada risiko apabila ada pihak mahu menganjurkan konsert dan aspek keuntungan adalah faktor yang diberi keutamaan.

Pun begitu, Riezman tidak menolak kemungkinan nasib mungkin kurang menyebelahinya.

Namun dia tetap bertekad untuk menjayakan Konsert Milenia selepas ini.

“Saya dan rakan kongsi tak mungkin batalkan konsert kerana sudah berhabis wang kira-kira RM500,000.

“Jadi, kalau jangkaan awal 5,000 penonton tapi yang hadir hanya 2,000 kami reda.

“Kalau perlu berikan tiket percuma pun kami sanggup asalkan konsert dangdut itu tetap berlangsung,” katanya.