Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwari 'tiada pilihan' kecuali pilih Nas-T jadi Keluang Man

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Mungkin ada segelintir pihak tertanya-tanya apa ada pada Nas-T sebaik saja pelakon itu diumumkan terpilih menjayakan watak adiwira dari siri animasi popular Malaysia, Keluang Man, malam tadi.

Mengulas perkara tersebut, pengarah dan penulis skrip filem Anwari Ashraf berkata Nas-T, 40, layak membawa watak berkenaan kerana dia berjaya membeli jiwa produksi dan penerbit, Astro Shaw.

Justeru, menurut Anwari, dia “tiada pilihan” selain memberikan kepercayaan kepada aktor bernama asal Muammar Zar Nasruddin itu untuk menggalas watak Keluang Man, terutamanya selepas mengkaji video dan mengadakan sesi uji bakat secara fizikal baru-baru ini.

Katanya ada kira-kira 300 calon menghantar permohonan kepada Astro Shaw untuk disaring dan proses itu berlangsung selama sebulan. Semasa di peringkat saringan akhir, katanya, mereka mengadakan sesi bersemuka.

“Saya mencari seseorang yang boleh melakonkan watak Borhan atau Keluang Man dengan baik. Bagi saya, Nas-T seorang pelakon yang tak memerlukan masa yang lama untuk memberikan apa yang saya mahu.

“Dari situ saya mula terfikir yang saya tak ada pilihan lain kecuali untuk mengambil Nas-T berlakon sebagai Keluang Man,” kata pengarah yang terkenal sebagai pencipta bersama trilogi Polis Evo itu.

Anwari Ashraf

Anwari ditemui pada majlis pengumuman filem Keluang Man di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Pada majlis sama turut diumumkan nama pelakon lain yang terbabit dalam filem tersebut iaitu Remy Ishak sebagai Shamsir, Rosyam Nor (Ahmad) dan Anwar Beg Mughal (Inspektor Sahab).

Untuk rekod, fasa pertama uji bakat dibuka pada 28 Julai hingga 28 Ogos lalu. Ketika itu calon perlu menghantar video mengenai diri dan personaliti masing-masing.

Fasa kedua pula mensyaratkan pelakon untuk hadir sesi uji bakat secara fizikal sebelum melayakkan diri ke pusingan akhir. Kemudian, daripada 10 bakat disenarai pendek, hanya seorang dipilih untuk membawa watak Keluang Man.

Bukan sekadar pelaburan filem

Diperkenalkan pada era 1998, Keluang Man - watak adiwira yang diilhamkan daripada keluang - terus diingati walaupun sudah lebih dua dekad berlalu.

Ia memaparkan kisah seorang pesakit psikiatri bernama Borhan yang menjadi adiwira bertopeng semasa membanteras jenayah.

Siri animasi adiwira pertama tanah air itu dicetuskan oleh Allahyarham Kamarudin atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas dan pemilik UAS Animation, Natashah Md Noor.

Astro Shaw baru-baru ini menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang harta intelek Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd bagi menerbitkan filem aksinya.

Filem yang sedang menjalani praproduksi itu dijadual memulakan penggambaran pada tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya untuk tayangan pada 2025.

Nas-T

Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad, berkata pihaknya mencapai kata sepakat untuk memilih Nas-T kerana ciri-ciri dan dedikasi yang ada pada dirinya menepati kriteria karakter.

“Kami percaya Nas-T mampu membawakan kelainan dalam menghidupkan watak animasi kegemaran ramai ini.

“Keluang Man amat ikonik, justeru, kami percaya ia juga satu pelaburan besar yang melangkaui sebuah filem, jenama dan produk.

“Kerana itu kami perlu mencari seorang pelakon yang mempunyai kesungguhan dan disiplin. Daripada apa yang kami lihat, Nas-T bukan saja memiliki bakat dan pengalaman, dia adalah aktor yang dipercayai boleh memenuhi watak Borhan,” katanya.