Skip to main
Logo Malaysiakini

Dari simpan sut saja, kini Nas-T betul-betul jadi adiwira

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Daripada sekadar memiliki sepasang sut adiwira, tanpa disangka akhirnya impian Nas-T terlaksana apabila dia diberi kepercayaan menggalas watak Keluang Man di layar lebar.

Kata Nas-T, bermula daripada sut yang dimiliki itulah dia menyimpan angan-angan yang tinggi untuk menggalas watak superhero.

“Saya memang menyimpan sepasang sut superhero. Saya selalu gunakan ia untuk hiburkan anak-anak di rumah.

“Semasa itulah saya berangan: kan bagus kalau boleh memainkan watak superhero. Saya juga membesar dengan menonton animasi Keluang Man, sejak saya berusia antara 12 dan 13 tahun.

“Jadi, apabila berpeluang jadi Keluang Man, anak-anak saya turut berasa bangga,” katanya.

Menurut pemilik nama asal Muammar Zar Nasruddin itu, dia membeli sut adiwira berkenaan kerana memang gemar kepada kisah-kisah adiwira versi Hollywood.

Justeru, katanya, apabila Keluang Man diangkat ke layar perak, dia menjadi antara peminat yang tidak sabar-sabar untuk melihat perkembangan naskhah berkenaan.

“Saya suka tonton filem Marvel dan DC, jadi apabila kita akhirnya ada superhero sendiri, saya rasa teruja,” katanya tanpa mendedahkan sut berkenaan berdasarkan watak apa.

Nas-T ditemui pada majlis pelancaran filem Keluang Man di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Pun begitu, Nas-T, 40, mengakui masih ramai pelakon lain yang lebih hebat daripada dia yang mungkin lebih layak membawa watak berkenaan.

Kena turunkan berat badan

Justeru dia mengakui berasa sedikit tertekan untuk membawa watak yang ikonik seperti Keluang Man.

Pada masa sama Nas-T berkata dia sedia menerima sebarang kritikan sekiranya gagal menguasai watak Keluang Man seperti yang diinginkan peminat.

“Saya sedia terima kecaman. Sukar bagi kita untuk puaskan hati semua orang. Tapi kalau sudah diberi tanggung jawab ini, takkanlah saya tak nak berikan yang terbaik.

“Mana-mana komen yang membina, saya terima,” katanya.

Keluang Man diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, Anwari Ashraf, yang turut berperanan dalam drama Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM.

Anwari turut bertindak sebagai penulis skrip Keluang Man. Filem itu dijangka siap untuk tayangan pada 2025.

Selain Nas-T turut memeriahkan Keluang Man ialah Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal dan Rosyam Nor.

Berkongsi persediaannya untuk filem berkenaan, Nas-T berkata, antara cabaran dihadapi ialah apabila Anwari meletakkan syarat dia perlu menurunkan berat badan agar sesuai dengan watak Borhan.

Katanya, sepanjang karier lakonannya, saiz badan yang diminta Anwari itu adalah paling kecil pernah dilakukan berbanding untuk filem-filem sebelum ini.

“Sekarang berat saya 75kg dan ini adalah berat ideal untuk saya.

“Bagaimanapun, pengarah tak sebutkan berat yang spesifik cuma dia tak mahu saya nampak bulky.

“Sebelum ini ketika berlakon Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, berat saya naik 83kg,” katanya.