Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kita semua pejuang dalam cara sendiri

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

ULASAN SENI | Kita semua adalah pejuang. Apa yang membezakan kita dengan orang lain hanyalah cara perjuangan itu, dan apa yang diperjuangkan.

Mengulang-ulang membaca kisah pahit dari sekian banyak laporan berita dan menonton ulang tayang kegetiran anak-anak Palestin di media sosial, semuanya masih belum mampu menggambarkan keadaan sebenar kehidupan dalam neraka jenis apa yang terpaksa mereka harungi di tanah air sendiri.

Sememangnya ada rasa marah, benci dan dendam yang kian lama kian membara dalam hati tatkala melihat bagaimana celakanya Zionis Israel melayan rakyat Palestin.

Baik wanita, orang tua, kanak-kanak malah petugas hospital dan wartawan yang menjalankan tugas tidak terkecuali daripada tumpuan mulut senjata api.

Cuma rasanya sebagai insan yang tahu erti kemanusiaan, harus kita mulakan semua perjuangan itu dari hati. Bak kata seorang Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam salah satu karyanya:

“Perjuangan kita cukup mudah, kita bertolak dari hati. Bukan dari perut yang ingin makan banyak-banyak. Bukan dari mulut yang ingin bercakap banyak-banyak. Bukan dari nafsu yang ingin berkuasa banyak-banyak. Kita selesaikan urusan hati. Dan yang lain akan selesai sendiri…”

Tidak mungkin tanah Palestin dapat dibebaskan dengan hanya memutar dan mengumandangkan Atouna el toufoule dalam konsert yang kita suka saja.

Tidak semua dapat memahami

Sementara konsert artis yang kita tak suka, kita desak kerajaan untuk mengharamkannya.

Mana mungkin keamanan akan dapat digapai dengan mengikat mafla Free Palestine di kepala atau sekadar melilitkan kain serban di leher lalu berasa lebih mulia daripada orang lain yang tak melakukannya.

Segala demonstrasi dinilai dari aspek pihak mana yang lebih power kemudian semua netizen menghalakan serangan kepada selebriti, atlet dan pempengaruh yang kononnya tidak cukup bersuara.

Kemudian kita bersengketa dan saling memaki untuk menghalalkan tindakan untuk memboikot - atau tidak memboikot - produk terpilih yang kononnya membantu Israel, misalnya.

Kesemuanya itu hanya membawa geruh lalu mengisi ruang-ruang kosong kemanusiaan yang berdekad-dekad lamanya diulang-ulangkan.

Ketahuilah bahawa kita semuanya adalah pejuang. Yang membezakan kita hanyalah cara dan apa yang kita perjuangkan.

Seperti ibu bapa anak-anak kelainan upaya yang memperjuangkan kehidupan agar mampu menjadi seorang pekerja terlatih di restoran yang kita boikot itu misalnya.

Anak-anak itu umumnya mengalami disleksia, sindrom Down, autisme dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD). Mereka berjuang sendirian dengan cara sendiri dan tidak semua daripada kita tahu mahupun mengerti.

Setelah dilatih bagi membiasakan diri dengan pelbagai renyahnya kerja-kerja yang ditetapkan menurut prosedur operasi standard restoran, mereka menjadi anak yang berdikari, mampu mengemas dan menyusun peralatan sendiri.

Mereka juga mampu mahir mengurus sampah serta memastikan kemasan dan kebersihan restoran sentiasa terjaga rapi.

Boleh jadi kerja-kerja itu mudah, kecil dan terlalu biasa untuk kita tetapi bagi golongan tertentu, ia adalah kejayaan daripada sebuah perjuangan yang sulit.

Semuanya menjadi racun

Buat ibu bapa anak-anak OKU pula, ia mungkin suatu rahmat yang sangat besar dan mampu membuatkan mereka menitiskan airmata.

Tulisan ini membawa suatu foto yang dirakamkan seorang jurugambar AS bernama Eugene Smith dan diberi judul Tomoko In Her Bath.

Semenjak majalah Life menyiarkan gambar itu pertama kali pada 19 Dis 1972, imej itu mencetuskan fenomena perjuangan kemanusiaan yang luar biasa.

Kisahnya bermula di Minamata, sebuah bandar dalam wilayah Kumamoto di Jepun. Pada sekitar 1956, penduduk Minamata mula mendapati kebanyakan penduduk di sana mula mengalami sejenis penyakit yang mereka sendiri tak kenal.

Lebih menyedihkan apabila semua bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan fatal dan kekal.

Penduduk kemudian menyedari semua itu berpunca daripada pencemaran raksa yang dilepaskan sebuah loji kimia ke teluk Minamata lalu mereka pun bangkit melawan.

Cuma penentangan itu sudah terlambat. Sisa beracun yang dilepaskan loji berkenaan ke Teluk Minamata sehingga menyebabkan seluruh hasil laut menjadi beracun.

Selama bertahun-tahun, ikan, udang dan sotong beracun itulah yang ditangkap nelayan sebelum menjualnya di pasar Minamata. Lama penduduk Minamata bangkit melawan tapi tidak siapa mahu mengambil peduli.

Akhirnya salah seorang aktivis dan penduduk di situ, Aileen Mioko, bertolak ke AS dan memujuk Smith untuk membantu Minamata agar mendapat perhatian dunia.

Jurugambar berprofil tinggi untuk majalah Life itu pada awalnya menolak, namun dia akhirnya mengambil keputusan untuk ke Minamata bersama Aileen.

Kisah Minamata ini boleh saja membuka hati kita kepada kemanusiaan. Agar kita tahu anak-anak OKU serta ibu bapa mereka juga ada perjuangan yang sedang dihadapi.

Buku Minamata: The Story of the Poisoning of a City, and of the People Who Choose to Carry the Burden of Courage hasilan Smith dan Aileen itu kemudian difilemkan oleh Andrew Levitas pada Feb 2020.

Cubalah baca, tonton dan lihat sendiri. Ketahui mengapa dan bagaimana foto Tomoko In Her Bath itu dirakam dan diterbitkan.

Mudah-mudahan nanti hati kita bisa mengerti bahawa kita semua adalah pejuang yang memikul perjuangan sendiri.


HARIS HAUZAH ialah seorang penagih gula yang boleh melelapkan mata di mana-mana saja.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.