Skip to main
Logo Malaysiakini

'Inspektor Aleeza' rugi hampir RM20,000 diumpan penipu

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pengalaman luas berlakon sebagai pegawai polis dalam Gerak Khas tidak menjadikan Abby Abadi 'kebal' daripada menjadi mangsa penipuan skim pelaburan atas talian.

Abby melalui Instagram mengakui insiden yang berlaku ke atasnya adalah atas faktor kecuaian sendiri menyebabkan dia berputih mata selepas mengalami kerugian sehingga RM18,500.

Justeru, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, tampil untuk berkongsi kisahnya ditipu supaya menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak menjadi mangsa.

Pelakon yang membawa watak Inspektor Aleeza dalam drama bersiri kepolisan itu mendakwa, dia dijanjikan pulangan lumayan - sebanyak RM145,000 dalam tempoh tiga jam - sekiranya melabur RM4,000.

Kata Abby wang tersebut kononnya sebagai pendahuluan saja.

Walaupun berasa pelik, tambah pelakon filem Pasrah itu, dia tetap 'kalah' dengan permainan mereka.

“Inilah bahana apabila tak pernah berasa cukup. Manusia, kan... walaupun nampak macam mencurigakan, (hati) tetap terpanggil-panggil untuk melabur.

“Fikir punya fikir, terjebak akhirnya... siapa yang tak nak kan? Sebab dalam grup siapa yang join semua dapat.

“Memang dah lebur duit aku dengan geng scammer b*bi melampau sangat... scammer berleluasa sekarang. Hati-hati semua,” katanya.

Kisah Abby, 45, diperdaya nampaknya tidak berakhir di situ apabila dia terus termakan umpan agar menambah wang pelaburan sebagai proses pencairan masuk ke akaun scammer terbabit.

Katanya, dia kemudian dikehendaki membayar sebanyak RM14,500 lagi sebelum boleh mendapat wang pelaburan yang dijanjikan.

“Saya tahan seminggu untuk letak lagi RM14,500 untuk kos seterusnya sebab rasa sangat dah macam nak kena scam, tapi itulah, duit punya pasal, punya sembang kat dalam tu pun bukan main lagi... tertipu lagi akhirnya,” katanya.

Abby berkata dia menyedari ditipu apabila diminta membuat transaksi kali ketiga sebanyak RM29,770 kononnya bagi urusan pemindahan wang dari bank.

“Haa masa ni menyirap dah. Baran dah datang. Kepala otak dorang berjambul.

“Memang dah leburrr la duit aku dapat ke geng scammer, arghhh,” katanya.