Skip to main
Logo Malaysiakini

Pasha Ungu janjikan pendidikan, perubatan percuma buat Palu

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Penyanyi kumpulan Ungu yang juga wakil Datuk Bandar Palu, Pasha, berharap dia terpilih untuk memenangi kerusi dalam Dewan Perwakilan Rakyat (DPR, seumpama parlimen di Malaysia) pada pilihan raya umum (PRU) Indonesia tahun depan.

Bagi Pasha, kesediaannya untuk merebut kerusi Parlimen itu susulan keyakinannya bahawa dia berjaya memimpin kerajaan tempatan untuk bandar Palu sudah dilaksanakan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, saya dah selesaikan khidmat sebagai Wali Kota (Datuk Bandar) dengan membangunkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta penambahbaikan jalan raya dan jambatan.

“Sekarang tugas saya fokus untuk mewakili kerusi di Parlimen. Kempen pilihan raya juga saya sudah jalankan sejak bulan lalu.

“Jadi, saya harap ada peluang untuk mewakili suara rakyat di DPR walaupun masih terserah kepada rakyat untuk buat pemilihan nanti,” katanya.

Pasha, 44, atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Said merupakan penyanyi yang kemudian menceburi politik secara aktif sehingga memenangi pilihan raya tempatan pada 2015.

Selepas mengetuai kerajaan tempatan di Palu, ahli Parti Amanat Nasional (PAN) itu mencuba nasib untuk menguasai kerusi Daerah Khas Indonesia (DKI)Jakarta III yang turut merangkui kawasan Jakarta Utara dan Jakarta Barat.

Bukan berlangsung setiap hari

Selain menumpukan perhatian di situ, pada masa sama Pasha berazam untuk tidak mengetepikan kebajikan penduduk Palu.

Justeru dia menjanjikan pendidikan serta perkhidmatan perubatan percuma buat penduduk Palu.

“Kebanyakan warga Palu tak berkemampuan untuk menghantar anak ke sekolah walaupun yurannya cuma Rp3 hingga Rp10 juta.

“Selain itu, kami akan sediakan perkhidmatan perubatan seperti klinik desa dan doktor secara percuma supaya rakyat mudah mendapat akses walaupun pada waktu malam,” katanya.

Pasha berkata demikian pada sidang media konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur - 30 Hits Timeless di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur semalam.

Penyanyi Tercipta Untukmu bersama empat lagi anggota Ungu iaitu Enda selaku pemain gitar, Makki (bass), Oncy (gitar) dan Rowman (dram) dijadual menghiburkan peminat pada 25 Feb tahun depan di Megastar Arena KL.

PRU Indonesia - termasuk untuk memilih presiden baru negara itu - dijadual berlangsung pada 14 Feb.

Ungu bakal menghiburkan peminat dengan 30 lagu terbaik pernah dirakam seperti Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Cinta Dalam Hati, dan Andai Ku Tahu.

Konsert berkenaan dibawakan penganjur Icon Entertainment dengan kerjasama penaja utama, AKE Group.

Diminta mengulas berhubung kariernya sebagai pemuzik sekiranya terpilih menjadi ahli parlimen nanti, Pasha berkata perlu banyak penyesuaian dilakukan.

Namun, katanya, anggota Ungu tidak mempunyai masalah sekiranya dia perlu menguruskan hal-hal berkaitan penduduk diwakilinya.

“Anggota Ungu faham dengan tuntutan tugas saya sebagai ahli politik sejak jadi Wali Kota dan mereka juga beri sokongan yang tinggi.

“Persembahan Ungu bukannya berlangsung setiap hari. Jadi semuanya ada penyesuaian,” katanya.