Skip to main
Logo Malaysiakini

Risteena minta Malaysia Airlines tingkatkan tahap perkhidmatan

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pelakon Nur Risteena Munim memohon syarikat penerbangan Malaysia Airlines untuk meningkatkan servis perkhidmatan mereka selepas mendakwa kehilangan bagasi sebaik mendarat di Lapangan Terbang Senai, Singapura hari ini.

Malah kata isteri pelakon Isa Khan itu, dia sudah cuba menghubungi syarikat penerbangan terbabit namun hampa kerana panggilan didakwa tidak berjawab.

“Wahai Malaysia Airlines, saya dah banyak bertimbang rasa dengan perkhidmatan kamu. Kali ini sudah melampau ya. Apa alasan kali ini? Kenapa bagasi saya boleh tiada?

“Tolong jawab. Saya sudah menghubungi ratusan kali tapi tidak berjawab. Ini bukan gurauan,” katanya di media sosial sebentar tadi.

Lebih mengeruhkan keadaan, Risteena, 34, berkata, dia sepatutnya menghadiri majlis di Singapura.

Namun pasport miliknya yang disimpan dalam bagasi berkenaan pada saat akhir mengakibatkan dia tidak dapat melepasi pihak kastam.

“Saya daftar masuk bagasi bersama pekerja saya, beg mereka ada tapi kenapa beg saya pula yang tiada? Pasport berada dalam bagasi berkenaan dan perlu menghadiri majlis di Singapura.

“Boleh anda cek status beg saya?” soalnya lagi kepada Malaysia Airlines.

Tambah Risteena, dia juga sudah membayar perkhidmatan sewa kereta untuk menyeberangi Singapura namun tidak boleh berbuat demikian disebabkan tidak mempunyai pasport.

Katanya, dia dimaklumkan untuk menunggu hingga waktu petang untuk mengetahui status bagasi berkenaan.

“Paling teruk, sampai sekarang saya tak dimaklumkan status bagasi tersebut dan diminta menunggu hingga petang.

“Saya minta Malaysia Airlines bertanggungjawab untuk sebarang kehilangan dan kerugian berkaitan isu ini,” katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi Malaysia Airlines untuk pengesahan berkaitan isu tersebut.