Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak jadi hero, Anas Ridzuan tak kecil hati

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pelakon Anas Ridzuan tidak berkecil hati mengenai peranannya dalam mana-mana drama mahupun filem meskipun sering ditawarkan sekadar watak pembantu.

Katanya, dia menyedari paras rupa biasanya menjadi keutamaan dalam sesebuah naskhah, justeru memahami kehendak penerbit mahupun pengarah yang menginginkan produk mereka laris dijual.

“Saya tak fikir perkara lain asalkan ada orang mahu menonton lakonan saya itu sudah cukup.

“Takkanlah saya nak kerja di stesen minyak semata-mata disebabkan tak dapat jadi pelakon utama.

“Bukan saya pandang rendah pekerjaan itu tapi kerana saya belajar ilmu lakonan bertahun-tahun di universiti. Jadi, wajar saya teruskan karier sebagai pelakon.

“Justeru, biarlah orang yang lebih tampan dan popular lebih ke depan kerana saya langsung tiada masalah dengan hal itu. Nak jual produk perlukan orang yang ada rupa,” katanya.

Menurut calon Pelakon Lelaki Harapan Festival Filem Malaysia ke-27, dia tidak mempunyai masalah jika namanya sebagai pelakon tidak glamor.

Bagi Anas, yang lebih penting ketika ini adalah dia dapat menampung kehidupannya sekeluarga.

“Jika kurang popular juga bukan masalah buat saya. Alhamdulillah, tawaran bekerja penuh dari awal tahun sampai bulan Disember ini. Ia rezeki anak-anak.

“Diharap, apabila produksi melihat lakonan saya, mereka mahu terus beri peluang pekerjaan. Itu lebih penting kerana perlu beri anak-anak dan isteri makan,” kata Anas yang juga anak didik Faizal Tahir melalui program Mentor musim keenam itu.

Pelakon itu ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya berjudul Syif Malam di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Melalui filem arahan dan penulisan Fairus Anuar itu, Anas, diberi kepercayaan sebagai teraju utama selain dua lagi pelakon iaitu Shah Kimin dan Taqim Zaki.

Syif Malam berkisahkan tiga sahabat, Ikmal, Botak dan Mok yang bekerja sebagai pereka grafik di sebuah pejabat sering diganggu kejadian misteri apabila bekerja waktu malam.

Filem terbitan Empire Film Solution dan Thinkerbell Studios Sdn Bhd berkenaan bakal menjengah 70 pawagam seluruh negara bermula 7 Disember ini.

Berkongsi lanjut, kata Anas, persahabatan terjalin antara pengarah serta pelakon Syif Malam yang lain menyebabkan dia menerima tawaran menjayakan naskhah berkenaan.

Menurutnya, keserasian antara mereka secara tidak langsung memudahkan mereka bekerjasama.

“Saya kenal Fairus dah lama, kami juga sebenarnya berjiran.

“Malah tak sangka filem itu turut dibarisi Shah Kimin, rakan dari UiTM (Universiti institut Teknologi Mara) manakala Taqim satu batch di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan),” katanya.