Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes saman RM2.5j selesai tapi Lan, Syura ‘diserang’

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Meskipun kes saman RM2.5 juta penyanyi Siti Nordiana ke atas lima sekawan sudah diselesaikan, masih wujud segelintir pihak yang tidak berpuas hati.

Bukan setakat itu, malah ada antara mereka mengancam untuk memboikot Lan Solo dek kerana sikap penyanyi itu yang menimbulkan rasa kurang senang pengikutnya.

Melalui dua hantaran di Instagram, Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof berkongsi gambar wajah dia dan isteri, Nur Sheila Hassim, tersenyum di samping Syura yang juga rakan baiknya.

Mengiringi perkongsian imej itu, Lan menjelaskan dia mahu menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-14 bersama isterinya hari ini, tetapi diganggu Syura atau nama asalnya Zuraidah Badron.

Pengikut Lan, 38, menyifatkan hantaran itu seolah-olah menyindir Siti Nordiana malah menganggap tindakannya memuat naik hantaran sebegitu sebagai sinikal.

“Dah orang tarik saman, ketawa macam mengejek pula,” tulis seorang pengguna media sosial.

Perkara sama turut dipersetujui seorang lagi pengikut Lan yang berkata: “Kurang ajar, geng toksik dan dengki. Nasiblah kawan tu tak saman, karier dah sendu ada hati nak perli-perli, apa pun orang itu popular.”

Namun, Lan tidak membalas cemuhan ditinggalkan sebaliknya dia hanya mengehadkan komen Instagramnya.

Selain Lan, nama Syura turut memanas gara-gara respons yang ditinggalkannya di ruang komen sebuah akaun Instagram.

“Lebih baik kamu tak tulis apa-apa, sujud syukur sebab tak perlu bayar saman, jadikan ini semua pengajaran,” kata pengguna media sosial itu.

Terdahulu, Siti Nordiana selaku plaintif, lima yang lain termasuk Lan dan Syura bersetuju untuk menyelesaikan kes saman berkenaan di luar mahkamah selepas bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Selain Lan dan Syura, tiga lagi dinamakan sebagai defendan ialah Nur Sheila Hassim; Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin; dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi.