Skip to main
Logo Malaysiakini

Warner Music sah tamatkan kontrak Kaka Azraff

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Warner Music mengesahkan penamatan kontrak penyanyi Kaka Azraff disebabkan “penggunaan bahasa tertentu” yang tidak disenangi syarikat rakaman itu.

Menurut Warner Music, tindakan itu selepas Kaka meninggalkan mesej pada akaun Instagram seorang pelakon, Nathaniel Buzolic.

“Kaka Azraff merupakan seorang artis yang sangat berbakat tapi malangnya, kami terpaksa berpisah dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung yang dipaparkan dalam talian,” katanya.

Sebelum ini, tular laporan menyatakan kontrak Kaka atau nama sebenarnya Noor Atiqa Noor Azraff bakal ditamatkan pada 31 Disember ini, iaitu empat bulan lebih awal daripada perjanjian asal.

Keputusan itu dipercayai berpunca daripada kelantangan Kaka bersuara dalam isu Palestin.

Susulan itu, namanya menjadi perhatian dunia selepas identitinya dikongsikan laman Instagram Jew Hate Database baru-baru ini.

Untuk rekod, Buzolic adalah pelakon Australia pro-Israel.

Kaka yang juga penyanyi Bawaku Pergi itu juga akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan lebih lanjut isu tersebut malam ini.

Bagaimanapun, Warner Music berkata pihaknya tidak menghalang hak bersuara mana-mana artis di bawah naungan mereka.

“Walaupun kami dengan teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis di bawah naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian, tanpa mengira kumpulan, bangsa, atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama,” jelas Warner Music.