Skip to main
Logo Malaysiakini

Kaka anggap isu penamatan kontrak jihad kecil

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Meskipun Warner Music mengesahkan penamatan kontrak Kaka Azraff lebih awal hari ini, keputusan itu langsung tidak melemahkan penyanyi itu untuk terus memberi sokongan kepada Palestin.

Malah Kaka berkata kejadian yang berlaku antara dia dan syarikat rakaman itu disifatkan sebagai jihad kecil untuk saudara Islam di kawasan bergolak itu.

“Saya lihat ia dari sudut positif kerana tahu saya berada di pihak yang benar, justeru diharap anda kekal bersolidariti bersama Palestin.

“Saya tak akan berhenti di sini kerana ini baru permulaan. Jadi, kalau mendatangkan kesusahan sedikit saya anggap ia jihad kecil.

“Saya akan terus cuba berikan yang terbaik dan sentiasa sebarkan positiviti kepada anda,” katanya.

Pun begitu, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff berkata sebagai artis paling lama bernaung di bawah Warner Music, dia berhak dimaklumkan secara rasmi berhubung alasan sebenar penamatan kontraknya yang berkuat kuasa pada 1 Dis lalu.

Bahkan, penyanyi Bawaku Pergi itu mengakui terkilan kerana dia tidak diberi ruang untuk berbincang mengenainya terlebih dahulu.

Bagi Kaka, 34, sebagai seorang ibu dan juga Muslim, dia berhak meluahkan perasaan simpatinya berhubung kekejaman Israel kepada rakyat Palestin.

“Walaupun lewat petang tadi Warner Music memaklumkan mereka menamatkan kontrak kerana tak bersetuju dengan bahasa tertentu yang saya hantar melalui Direct Message (DM) di Instagram kepada pelakon Nathaniel Buzzolic, ia tetap tak dinyatakan secara rasmi dalam notis penamatan yang diberi.

“DM yang saya berikan itu adalah respons kepada video propaganda kejam dan menyedihkan mengenai saudara Islam yang dibunuh yang dikongsikan pelakon terbabit.

“Sejujurnya saya akui tak terkilan kontrak ditamatkan, cuma kenapa tak diberi peluang berbincang lebih jelas malah Warner Music cuma nyatakan saya melanggar polisi global namun tak pernah pula beri kenyataan yang melarang artis naungan mereka bercakap tentang konflik Palestin-Israel,” katanya.

Kaka berkata demikian pada sesi sidang media khas isu terbabit di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Turut hadir, suami Kaka, Adam Azriff dan peguam mewakili penyanyi berkenaan, Aidil Khalid dan Abi Mursyidin Awal.

Pada sesi sama, Kaka memaklumkan kontraknya masih berbaki bertahun-tahun lagi namun tidak dapat berkongsi butiran itu secara menyeluruh.

Baru-baru ini, Kaka menjadi perhatian dunia selepas namanya disenaraikan dalam akaun Instagram Jew Hate Database kerana lantang bersuara isu Palestin.

Bagaimanapun, Kaka mengakui dia sepatutnya memilih perkataan yang lebih sopan namun tidak dapat berbuat demikian kerana dikuasai perasaan marah.

“Saya DM dia (Buzzolic) dalam keadaan sangat marah tapi saya lakukannya melalui mesej secara langsung, bukan mengajak secara umum untuk membenci dia.

“Saya tegaskan apa saya katakan kepadanya bukanlah kata-kata berunsur kebencian (hate speech).

“Tapi ada pihak yang menularkan mesej saya untuk menarik perhatian orang ramai malah membuatkan seolah-olah saya nampak bersalah,” katanya lagi.