Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Usah diabai kerja dokumentasi seni

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

"Oh, aku ada Jai! Aku ada Amron! Aku ada Latif!!!"

Mungkin benar apabila ada yang mengatakan bahawa para pengumpul seni  sebenarnya mahu memiliki karya-karya seni hanya untuk berasa berhak berbangga-bangga.

Juga untuk jadi modal berbual sesama rakan pengumpul dan menayangkan akan fahamnya mereka terhadap satu dari seribu bidang seni yang entah penting entah tidak itu.

Jarang, menurut sebahagian pemerhati, para pengumpul karya seni - tempatan khususnya - mahu berusaha membawa karya seniman tempatan ke tempat yang lebih tinggi.

Kadangkala ada antara mereka yang memuja sekumpulan seniman tertentu sambil memperkecilkan kumpulan yang lain.

Itu tidak sepatutnya berlaku.

Sebagai perbandingan, pengumpul karya seni dari Indonesia pernah cuba untuk mendermakan sejumlah karya seniman mereka kepada MOMA dengan harapan agar nanti mata dunia lebih cenderung untuk memahami lebih dalam akan kehebatan seniman dari tanah tersebut.

MOMA menolak pemberian tersebut, namun usaha para pengumpul seni itu - walaupun mungkin ada agenda lain seperti menaikkan harga karya dalam simpanan mereka misalnya - harus dipuji.

Di tempat kita para pengumpul seni masih tertumpu kepada kepuasan peribadi. Melalui perubahan masa diharapkan mereka akan faham bahawa tugas pengumpul seni ialah untuk meraikan dan membawa karya tempatan tersebut ke tahap yang lebih baik.

Kumpulan yang betul-betul mahu membina simpanan karya tempatan tentu saja tidak boleh dihimpunkan dalam kumpulan yang menjadikan koleksi mereka sebagai komoditi dan bahan spekulasi.

Contoh yang baik

Antara usaha yang harus dilakukan oleh mereka yang benar-benar mahu melihat kemajuan dalam dunia seni tempatan ketika ia agak statik sekarang ialah dengan memperbanyakan kerja-kerja dokumentasi.

Kita kekurangan bahan yang boleh dijadikan rujukan, dan sejarah yang tidak ditulis hukumnya menjadi kabar angin, mitos dan legenda.

Berbangga dengan hal yang tidak ada bukti nyata adalah angan-angan yang membosankan. Rujuk cerita-cerita tidak bersandar bukti yang kukuh mengenai kehebatan bangsa Melayu, misalnya.

Pihak yang mempunyai kredibiliti dalam hal mendokumentasi seperti ahli akademik seharusnya rajin menghasilkan penulisan mengenai seni tempatan untuk bacaan umum, bukannya bertegas mahu menulis demi untuk dapat kenaikan pangkat.

Sebarang artikel yang dihasilkan bolehlah dimuatkan di mana-mana portal dalam talian, tetapi yang terlebih baik tentu saja jika ia dibukukan.

Portal Seni Malaya (senimalaya.com) yang kini sedang bergerak maju adalah satu contoh yang baik. Mungkin pada hari ini ia masih hanya dilayari oleh peminat seni namun pada masa depan arkibnya tentu saja akan menjadi rujukan.

Begitu juga dengan majalah seni Kolompo Art yang sedang dalam proses menerbitkan edisi keduanya. Usaha-usaha kecil sebegini tentulah akan menjadikan kerja-kerja dokumentasi seni lebih menarik.

Selain itu buku Butterflies In My Stomach hasil tulisan Nik M Fahmee juga adalah sesuatu yang telah lama ditunggu oleh para penggemar seni di negara kita.

Nik Fahmee yang juga seorang pengumpul tegar hasil kerja seniman tempatan mengolah sebuah buku yang sangat menarik. Dalam buku itu dia memaparkan hasil kerja anak seni tempatan dan ditambah pula dengan kisah-kisah peribadi.

Melalui Butterflies In My Stomach penulisnya menceritakan mengapa dia mahu memiliki sesuatu hasil seni. Dia juga berjaya menginsankan para seniman dengan memberitahu kita mengapa seseorang artis itu menghasilkan kerjanya.

Ini adalah sentuhan kemanusian yang jarang kita dapat bilamana hasil seni diperkatakan.

Sebagai contoh, kita yang di luar Pulau Pinang tidak pernah tahu bahawa di sana suatu masa dulu pelanggan dibenarkan membawa sendiri telur ayam untuk dipecahkan apabila membeli mi goreng atau char kuetiau.

Pilih untuk menderita

Juga kisah si Shamir dan dua rakan sekolahnya cuba menjual idea untuk mendapatkan dana RM500 bagi membakar roti. Shamir datang dari sekolah pendidikan khas dan dia melihat betapa ramai rakannya hadir dalam keadaan lapar.

Dengan dana tersebut dia berharap untuk mengurangkan beban lapar rakan sekolahnya.

Cerita-cerita sebegitu menjadikan karya yang dihasilkan oleh seniman lebih dekat dengan kita. Pada masa yang sama penulis buku tersebut menjadikan karya seni itu ‘miliknya’.

Dan ia bukan sekadar modal berbangga-bangga dan komoditi spekulasi.

(Bagi kami, char kuetiau berkuah dan berledir dek telur adalah dosa besar peniaga pasar malam yang tidak terampun.)

Lebih ramai pengumpul karya seni tempatan seharusnya menghasilkan dokumentasi karya-karya yang mereka miliki. Para seniman juga disarankan agar menerbitkan buku bagi menjelaskan mengapa mereka memilih untuk menjadi seniman dan menderita sedangkan sepatutnya boleh kaya-raya - misalnya dengan menjadi pempengaruh media sosial.

Galeri-galeri yang menjalan perniagaan hasil seni memang selalunya dipandang sebagai pengaut untung besar tanpa perlu berbuat kerja yang lebih.

Seniman berhempas pulas mengeluarkan modal dan menghasilkan karya, manakala galeri hanya menggantung gambar, menjemput orang dan mengaut untung.

"Sewa lori hantar werk pun aku bayar," kata seorang seniman.

Mungkin itu pandangan cetek sesetengah seniman namun tidak siapa yang mampu menafikannya apabila galeri dilihat tidak lebih daripada orang tengah.

Sepatutnya galeri melakukan lebih daripada sekadar menjadi tukang jual. Mereka selayaknya menjadi wakil seniman dan membawa karya tempatan ke tahap yang lebih daripada apa yang ada pada hari ini.

Pujian harus diberikan kepada Galeri G13 yang telah melancarkan buku The Artist’s Studio baru-baru ini.

Menurut pengurus galeri berkenaan, Kenny Teng, penghasilan buku itu adalah sumbangan dan juga daya usaha mereka untuk memperkenalkan seniman tempat di mata dunia.

Selain untuk pasaran tempatan, buku tersebut juga akan dihantar ke Singapura, Thailand, Filipina, China dan beberapa negara lain.

The Artist’s Studio seperti judulnya membawa pembaca melawat studio seniman tempatan dan mengenali lebih dekat lagi bagaimana, dan - lebih penting - mengapa seseorang seniman itu bertegas mahu menghasilkan karya seni.

Kerja untuk semua

Kita akan dapati betapa Juhari Said yang terkenal dengan karya cetak berjudul Katak Hendak Jadi Lembu itu akan setiap pagi memberi makan ayam dan ikannya sebelum memulakan kerja-kerja di studio Akaldiulu, Hulu Langat.

Atau bagaimana pelukis muda Hisyamuddin Abdullah menghabiskan masa lapan jam setiap hari di studionya.

Hari ini galeri tidak lagi berminat untuk menghasilkan katalog pameran atas alasan membazir.

Sesetengah pengurusan seni berpendapat adalah lebih menjimatkan untuk mereka jika katalog pameran dihasilkan secara dalam talian. Mungkin karena mereka tidak menganggap ia sebagai sangat penting.

Justeru disarankan agar sedikit penjimatan yang mereka dapat daripada menerbitkan katalog itu secara dalam talian kemudian dihimpun untuk dijadikan modal mendokumentasi kerja-kerja seniman yang banyak mendatangkan pendapatan kepada mereka.

Selain giat mengadakan pameran, Juhari bersama kumpulan cetak Goblock juga terlibat dengan serius dalam usaha mendokumentasi kerja-kerja seni cetak tempatan.

Dokumentasi sebagaimana ringkas pun adalah amat penting. Kerja-kerja itu harus dilakukan oleh semua.

Kita berharap mereka yang terlibat secara langsung dalam apa pun kegiatan seni mengambil hal itu sebagai penting.

Tidak munasabah untuk seorang seniman, misalnya, menunggu untuk didokumentasikan sedang mereka sendiri mempunyai hak yang lebih besar untuk melakukannya sendiri.