Skip to main
Logo Malaysiakini

Disangka konsert black metal, acara muzik ditutup sebab tiada dokumen

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kehadiran ramai yang berpakaian serba hitam di sebuah tapak perkhemahan di Selangor menggemparkan penduduk setempat sehingga menyangka sebuah "konsert syaitan" diadakan di situ.

Namun, setelah polis tiba di lokasi, ia sebenarnya adalah sebuah festival muzik genre 'hardcore' dan ia diarah ditamatkan bukan atas faktor lirik atau persembahan, tetapi kerana ia dibuat tanpa dokumen lengkap.

Penganjur festival, Rumah Api berkata pihaknya menyangka bahawa kebenaran dan permit bagi acara "hardcore punk" di Kem Isi Rimba di Kemensah itu telah pun diperoleh oleh operator kem.

“Namun, satu laporan telah dibuat di Bukit Aman berpunca dari aduan penduduk berdekatan yang gusar terhadap acara tersebut, yang mereka anggap sebagai konsert black metal atau syaitan kerana semua yang hadir memakai pakaian serba hitam.

"Pihak polis telah membuat siasatan dan mendapati pemilik Kem Isi Rimba tidak mempunyai permit yang sepatutnya walaupun kami telah menyelesaikan wang pendahuluan.

"Kami telah dijanjikan oleh Kem Isi Rimba bahawa mereka akan menyediakan segala dokumentasi namun, akibat kecuaian, mereka gagal berbuat demikian," kata Rumah Api di Instagram.

Acara dua hari itu, yang dinamakan “Chaos in Rumah Api: Vol Seven”, sepatutnya diadakan semalam (9 Disember) dan hari ini - menampilkan kumpulan tempatan serta dari Indonesia dan Singapura.

"Kami sangat kecewa kerana situasi seperti ini memberi kesan kepada acara ini.

"Kami ingin menyampaikan permohonan maaf paling dalam kepada setiap band dan penonton yang hadir untuk 'Chaos in Rumah Api' tahun ini," kata penganjur.

Tambahnya, pihak mereka akan membuat pembayaran balik tiket kepada penonton sebaik saja pembayaran balik sewa dan permit dengan Kem Isi Rimba diselesaikan.