Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak-anak Azah Aziz kagum kemajuan Malaysia

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Selepas 20 tahun menetap di luar negara dan kini kembali ke tanah air, pelakon Azah Aziz mengakui anak-anaknya cukup kagum dengan kemajuan Malaysia berbanding Kanada.

Menurut pelakon dan model popular era 1990-an itu, tahap kemajuan terutamanya diukur dari segi penggunaan teknologi moden yang membolehkan pengimbasan kod QR.

“Mungkin ramai berpendapat Kanada lebih maju daripada Malaysia, tapi tidak. Anak-anak saya kagum dengan kemajuan negara ini sekarang. Malaysia diakui lebih maju.

“Misalnya penggunaan QR code di Kanada belum ada untuk proses pembayaran,” katanya.

Menurut Azah atau nama penuhnya Norazah Aziz, dia juga mengakui anak-anaknya berdepan kejutan budaya sebaik tiba di sini.

“Mereka alami kejutan budaya pada awalnya,” katanya yang terkenal melalui drama bersiri Astana Idaman.

Azah ditemui pada majlis tayangan perdana Anak Perjanjian Syaitan 2 di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Azah atau nama penuhnya Norazah Aziz, 51, berkata, dia yang kembali sejak Julai lalu akan menetap selama lima tahun di sini kerana mengikut urusan suami, warga Perancis, Daud Leroy Abdullah.

Untuk rekod, Azah dan Daud bernikah pada 7 Januari 1995 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Kata Azah, banyak tawaran berlakon yang diterima sejak pulang ke Malaysia bahkan kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama.

Pun begitu, katanya, dia akui terasa agak kekok pada awal semasa kembali ke set penggambaran memandangkan sudah lama tidak berlakon.

“Sejujurnya memang gementar sebab dah 20 tahun tak berlakon. Tawaran juga banyak tapi saya tak boleh ambil semua cukup dua saja sebab penat.

“Saya berlakon kembali kerana minat bukan sebab duit. Lagipun, seronok dapat berjumpa kawan-kawan lama.

“Ada dalam kalangan mereka yang dulu berlakon bersama, sekarang dah jadi pengarah atau penerbit,” katanya.