Skip to main
Logo Malaysiakini

KYPJ dapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records, himpun 810 penyair

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) mencatat sejarah tersendiri apabila memperoleh pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) kerana berjaya menghimpunkan 810 syair menerusi buku Kumpulan Syair Putera Puteri Hujung Medini.

Pengurus Besar Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor Husaini Mokhles berkata pengiktirafan itu adalah bagi kategori Penyertaan Teramai Pelajar Dalam Buku Gubahan Syair iaitu melibatkan 810 pelajar berusia 13 hingga 19 tahun dari 78 sekolah menengah seluruh Johor.

"Penerbitan buku ini mendedahkan generasi muda kepada bentuk penulisan yang mampu membangunkan pemikiran aras tinggi selain menyuntik rasa cinta kepada warisan puisi tradisional Melayu.

"Kita percaya usaha ini akan bantu anak-anak muda untuk bangkit dan kekalkan warisan dan budaya bangsa khususnya dalam bidang seni penulisan secara lebih holistik," katanya ketika berucap pada majlis pengiktirafan MBOR kepada KYPJ di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata pengiktirafan MBOR itu merupakan satu penghargaan kepada inisiatif yang dijalankan KYPJ dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dan semua sekolah terlibat.

"Usaha ini telah dimulakan sejak 20 Okt lepas sebelum dikumpulkan melalui Google Form antara 2 hingga 15 Nov.

“Kesemua syair yang diterima disunting dan diselenggara penggiat puisi Melayu moden terkenal Mohd Rosli Bakir dan Norhaida Ahmad," kata Husaini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif KYPJ Haslinda Abu Bakar berkata buku berkenaan akan dicetak dalam skala besar dan diedarkan ke sekolah-sekolah dan perpustakaan di negeri ini untuk rujukan generasi akan datang.

Terdahulu, pengiktirafan MBOR itu diserahkan wakilnya Edwin Yeoh kepada Haslinda.

- Bernama