Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Berapa ringgit dapat baca sajak?

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

KOMENTAR SENI | Kau naik bas dan turun bas untuk pentas baca sajak, berapa ringgit kau dapat hasil melalak dan melaung di pentas sastera tu?

Kau bergaya sakan pakai baju batik dan di leher lilit kain lambang Palestin, berapa upah kau dapat?

Kau pandu kereta ke majlis sastera, bayar tol, tuang minyak dan bayar parkir, apakah jaminan kau dibayar selepas baca sajak yang mendapat publisiti meluas?

Sejak era Asas 50 sehinggalah zaman A Samad Said mogok seni menentang golongan yang kurang reti, kurang visi dan  kurang rasa, berapa kadar bayaran sajak di media massa?

Sastera Malaysia sejak dulu, kini dan mungkin selamanya memang akan begitu: banyak sorak-sorai, meriah putar alam, jenuh azab berbanding nikmatnya.

Sejak era Pyanhabib, Sani Sudin dan Kamarool Yusoff membaca sajak di bawah tiang lampu Kuala Lumpur, nasib sajak dan rezeki orang yang baca sajak dua kali lima saja.

Pyanhabib mungkin dapat lebih rezeki kerana muka dia glamor sebagai ‘bintang filim’. Sani Sudin popular kerana Kopratasa yang berhantu dengan lagu-lagu puisi.

Kamarool tidak lagi berada di bawah tiang lampu di Kuala Lumpur. Dia jadi orang seni sepenuh masa di Kelantan. Sesekali dia muncul dalam filem dan drama. Dia tidak baca sajak lagi.

Dia tahu jika terus membaca sajak demi sajak, dia akan mati kebuluran. Dia ada anak bini. Dia ada kehidupan sebagai seniman yang perlu dihargai kesenimanannya.

Jangan bandingkan dengan Khalid Salleh. Wak Khalid bersajak sambil jual ubat, sambil bermantera. Dia baca sajak kerana rezeki masuk. Dia juga orang filem dan teater. Nama dia besar. Ke mana-mana pergi, duit masuk poket.

Khalid Salleh

Kau yang baca sajak setiap minggu tu apa dapat? Kalau sekadar dapat minum free dan ucapan terima kasih, tak payahlah ketagih membaca sajak. Lebih baik kau mencangkul tanah kosong tepi jalan, kau tabur benih sayur dan biji cili.

Sekurang-kurangnya akan ada hasil. Boleh makan dengan nasi dan cicah budu atau cencaluk.

Yang kekal baca sajak sekarang adalah golongan yang suka naik pentas, atau golongan yang mendeklamasi ala Indonesia walaupun di rumah dia cakap Kelantan, Kedah atau negeri-negeri lain.

Mereka sendiri tahu, membaca sajak tidak ada apa-apa selain harapan penuh luka.

Bukan cuma syok sendiri

Ketika Anwar Ibrahim menjadi timbalan perdana menteri sehingga 1998, baca sajak di Menara Maybank adalah acara paling mewah dalam sejarah sastera tanah air. Penyair dibayar ribuan ringgit untuk beberapa sajak.

Penyair kerdil macam saya dapatlah beberapa ratus  ringgit. Memadailah untuk bayar tiket Bas Sri Jaya no 244 dari Taman Tun Dr Ismail ke Bangkok Bank di Kuala Lumpur.

Lepas baca sajak, kami melepak di gerai Benteng tak jauh Bus Stand Klang.

Jika naik syeh, kami lepak di Rumah Anak Alam di Padang Merbok. Sembang-sembang dan hisap rokok kretek bersama Abdul Aziz HM, Ladin Nuawi, Marzuki Ali dan ramai lagi.

Sebelah Anak Alam ada rumah Grup Teater Kreatif pimpinan Mior Hashim Manap. Kami lepak, bincang seni dan bedah sajak.

Ketika itu juga Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur menganjurkan Baca Puisi DBKL. Pengurus projek dan mentornya ialah Abdul Aziz HM juga. Acara baca puisi bulanan di Auditorium DBKL memberi peluang rezeki kepada kami yang baru menapak.

Elyas Omar selaku Datuk Bandar memahami keperluan bersajak di Kuala Lumpur. Ketua Pengarah DBKL Noordin Razak juga ghairah membaca sajak. Ada bayaran apabila terlibat membaca sajak.

Kuala Lumpur di tangan orang yang minat sajak akan terus bersajak. Iltizam Anwar sebagai orang kuat kerajaan menjadikan sajak bukan sekadar syok sendiri. Sajak untuk dibaca dan dihayati. Sajak untuk dibayar.

Apabila Anwar hilang jawatan dan masuk penjara, nasib sajak dan sastera negara semacam yoyo. Majlis baca sajak hanya untuk suka-suka, dan tanpa bayaran.

Tradisi itu berterusan sampai sekarang apabila penyajak dipanggil ke pentas untuk membaca sajak sekadar menerima ucapan terima kasih.

Penyair tanpa bayaran juga sekadar menerima like dan comment di media sosial. Tiada apa yang boleh dibanggakan. Sajak adalah kosong bayaran.

Jika pelukis, penyanyi, pelakon, pelawak dan juruhebah menerima bayaran tinggi hasil kerja mereka, penyajak pula berbangga dengan anugerah sastera peringkat negeri yang nilainya beberapa ratus ringgit sahaja.

Berkarya di tepi longkang

Selebihnya hanya berebut masa untuk hadir di majlis sastera tanpa bayaran. Keadaan tidak waras ini berlanjutan puluhan tahun tanpa pembelaan.

Apabila seorang hamba Allah mencetuskan isu penulis harus terus menulis dan jangan berhenti, reaksi marah dan geram daripada pelbagai kasta penulis pun muncul.

Bilis dan jerung sastera bersuara menyanggah dan memperli tulisan itu yang dianggap menghina penulis Malaysia.

Masing-masing hidup dalam impian peribadi kerana memang pun sastera Malaysia tidak menjamin apa-apa selain pengorbanan masa dan tenaga untuk kerja yang tidak setimpal ganjaran.

Pengkritik, Mana Sikana, timbulkan isu sajak merapu. Saya sokong. Bukan saja sajak merapu di media sosial dan buku swaterbit, malah sastera di Malaysia sendiri pun memang merapu.

Pemenang Anugerah Sastera Asia Tenggara (SEA Write Award) yang entah tahap mana karyanya tiba-tiba terpilih sebagai yang terhebat.

Kita tidak tahu di mana hebatnya penerima anugerah berbanding penulis yang berkarya di tepi longkang yang melahirkan karya polos sementara mencari jati diri.

Mamat dan Minah dari Teluk Intan dan Gua Musang yang tidak kenal sarjana dan pengkritik sastera taraf lima bintang jangan harap menang anugerah prestij.

Hentikan angan-angan

Seorang kenalan yang aktif bersajak dan berteater sejak 1980-an tiba-tiba telefon kerana mahu lima sajak. Tidak cukup dengan itu, penulis juga perlu mengeluarkan wang RM100 untuk terbitkan antologi 20 penyair dekad 1980-an.

Saya tanya untuk apa? Dia jawab, untuk terbitkan supaya orang atasan sastera kenang nama kita yang dah lama bersastera.

Saya tanya lagi untuk apa?

“Aku harap usaha ini boleh membuka peluang supaya nama aku tercatat sebagai calon SEA Write Award,” katanya. Saya gelak. Dia kaget.

"Kau kenal Prof Seluar Labuh?"

Dia menggeleng.

“Dah berapa kali kau minum dan duduk melepak dengan presiden persatuan penulis PLANTA?”

Dia menggeleng lagi.

"Hentikan angan-angan itu, kecuali kau memang bercita-cita baca sajak tanpa sebarang bayaran yang mudah dicapai," kata saya.

Jadi sasterawan di Malaysia tidak cukup sekadar baca teori  Aristotle dalam Poetics. Memang aspek puisi ialah pemikiran, struktur, bahasa, amanat, nada dan sikap pengarang.

Aristotle meletakkan perkara yang perlu difikirkan terlebih dahulu ialah, apakah pemikiran karya itu? Dalam konteks sekarang ia digantikan dengan perkataan tema.

Dengan pemikiran itulah sesuatu karya dimantapkan dari sebuah sajak kepada sajak yang lain, sehingga terlihat ideologi dan idealisme pengarang.

Kau kena tahu juga aspek hidup yang lain. Kau kena tahu juga teori kekawanan. Teori inilah yang menyebabkan sastera Malaysia terus merapu.

Kemerapuan ini jugalah yang menyebabkan kegiatan baca sajak tidak dibayar.

Pemikiran Aristotle dalam Poetics lahir ketika dunia belum kenal perusahaan bebas. Dunia belum ada kapitalis, feudalis dan politikus yang bergabung menjajah  jagat.

Di sebalik kuasa politik ada pedagang yang bergelar kapitalis. Di beberapa negara yang setia feudalisme, istana ikut terjebak dalam perusahaan milik negara.

Faktor kewangan dan industri menyebabkan lahirnya Revolusi Industri dan Revolusi Perancis. Persaingan barang mentah dan peluang pasaran menyebabkan Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua berlaku.

Teknologi dan perusahaan mendorong Perang Dingin, kemudian perang perdagangan yang berlaku sekarang.

Semua perlumbaan itu adalah material. Jika ada sajak dan sastera pun hanya basa-basi globalisasi.

Penyajak jangan berharap baca sajak dibayar kerana nilai sajak memang tidak pernah dinilaikan mata kapitalis dan penguasa.

Jika masuk tandas pun dibayar 50 sen atau RM1, nilai sajak lebih rendah kerana tidak dibayar melainkan anda bergelar Sasterawan Negara yang nilai karyanya tidak semestinya lebih baik daripada penulis kampungan.

Jangan marah. Teruslah bersajak jika sajak membahagiakan jiwamu yang resah tanpa bayaran!


IMLAN ADABI adalah penulis sajak yang tidak lagi ke majlis sastera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.