Skip to main
Logo Malaysiakini

Dilantik jadi pensyarah, Atilia anggap mimpi ‘gila’

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Penyanyi Atilia Haron bersyukur impiannya untuk menabur bakti sebagai seorang pensyarah akhirnya menjadi kenyataan.

Katanya, pengalaman 40 tahun sebagai anak seni melayakkannya untuk bergelar ahli akademik di sebuah universiti swasta terkenal tempatan.

“Pelantikan ini ibarat mimpi gila dan saya langsung tak jangka ia boleh jadi kenyataan.

“Saya dilantik secara rasmi sebagai tenaga pengajar di School of Liberal Arts and Sciences dekat Taylor University Lakeside Campus, Subang Jaya.

“Jadi, saya amat bersyukur kerana pengalaman empat dekad sebagai penggiat seni akhirnya membuka peluang untuk menjadi tenaga pengajar,” katanya pada sidang media Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Atilia, 49, antara tanggungjawab akan digalas sebagai pensyarah di universiti berkenaan adalah mengajar muzik, teater serta persembahan.

Penyanyi Bahagiaku itu juga berkata, selain pengalaman dalam bidang seni, pelantikan berkenaan juga dibuat berdasarkan latar belakang pendidikannya yang merupakan graduan dalam jurusan pengiklanan dan ekonomi.

“Sebelum layak dianugerahkam gelaran profesor, oleh pihak universiti, saya disyaratkan mengambil peperiksaan dan menjalani penilaian selama tiga bulan,” katanya.