Skip to main
Logo Malaysiakini

Nafi anak tiri bahasa Melayu, Tunku Mona cabar diri hasil filem Kantonis

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pengarah Tunku Mona Riza memilih untuk menghasilkan buah tangan terbaru, Rain Town dalam bahasa Kantonis kerana mahu mencabar dirinya sebagai pengkarya dan bukan menganaktirikan bahasa Melayu.

Kata Tunku Mona Riza, disebabkan mahu sesuatu yang berlainan justeru, dia perlu melakukan sesuatu yang berbeza daripada yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya masih sayangkan bahasa Melayu, tapi kadang-kadang kita perlu hasilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang sering dilihat.

“Ini kerana saya bukan cuma berkarya dengan bahasa berbeza tapi menjalani keseluruhan proses yang menarik dari perspektif berlainan melalui interaksi dan pembelajaran.

“Saya juga suka cabaran baru, bukannya nak melupakan bahasa Melayu tapi keputusan itu baik untuk pembangunan industri perfileman kita,” katanya.

Pengarah yang mencipta nama melalui filem Reda itu berkata skrip Rain Town dihasilkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris bagi mendapatkan keseluruhan cerita sebelum dibawa kepada penterjemah bahasa Cina.

Katanya, skrip berkenaan kemudian diubahsuai mengikut kesesuaian.

“Mujur pelakon saya semua berdisiplin mereka ikut skrip yang disediakan.

“Cabaran sebenar bermula selepas hari ketiga penggambaran hingga seterusnya.

“Di sinilah saya dapat lihat sejauh mana saya boleh cabar diri sendiri sebagai pencerita dan pengarah,” katanya.

Tunku Mona Riza berkata demikian pada sidang media pelancaran trailer Rain Town di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.

Rain Town berkisahkan Choo seorang bapa yang juga ketua keluarga terus mencampuri urusan tiga anaknya yang sudah dewasa iaitu Isaac, Alex dan Ruby, hingga mengabaikan cita-cita dan kebahagiaan mereka.

Apabila isteri Choo, Aileen ditimpa kemalangan, hubungan keluarga itu semakin renggang hingga membawa mereka kepada konflik yang menyayat hati.

Filem itu dijayakan barisan pelakon hebat seperti Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee, Pauline Tan.

Naskhah itu dijangka menemui khalayak di pawagam seluruh negara bermula 8 Feb tahun depan, sempena Tahun Baru Cina.

Untuk rekod, Tunku Mona Riza sebelum ini pernah mengarahkan iklan dalam bahasa Vietnam, Kemboja, Mandarin selain menghasilkan telefilem Uri dan Parit Jawa, masing-masing dalam bahasa Iban dan Jawa.

Pengarah itu yang juga Penerbit Eksekutif Current Pictures Sdn Bhd berkata filem berkenaan telah ditayangkan di Fuzhou dan Xiamen di China; Vancouver, Kanada; Goa, Iindia; Medan, Indonesia dan Los Angeles.

“Saya banyak menerima respons positif selepas tayangan di negara luar sebelum ini.

“Jadi saya berharap Rain Town juga dapat menarik minat semua kaum di Malaysia untuk menonton filem ini,” katanya.