Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenazah M Daud Kilau selamat dikebumikan

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Jenazah penyanyi legenda, Allahyarham Datuk M Daud Kilau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh di Bagan Datuk pada 2.30 petang ini.

Cuaca baik mengiringi upacara pengebumian di kawasan perkuburan itu yang dihadiri kenalan rapat, saudara mara dan penduduk setempat.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tuminah Hamidi l di Bagan Datuk yang diimamkan  oleh imam masjid, Zulfadil Ismail serta kira-kira lebih 400 jemaah.

Sementara itu, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air.

"Saya dan Allahyarham sudah kenal sejak 50 tahun lalu. Kami banyak menyanyi dan sepentas bersama. Semasa aktif, arwah suka menjahit baju labuci yang dipakainya sekiranya perlu diubah suai ketika berada di belakang pentas.

"Sejak tiga tahun lalu YKAT memberi pencen berjumlah RM500 kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya dalam industri seni," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu,  cucu Allahyarham, Norhasliyana Hassan, 33, berkata beliau akan merindui dendangan lagu Cek Mek Molek yang sering dinyanyikan arwah datuknya menerusi panggilan telefon sebelum ini.

"Sepanjang hayatnya, atuk tidak kisah jika kami buat bising ketika di rumah, malah beliau tidak pernah memarahi kami. Saya akan merinduinya," katanya dalam nada sebak.

Norhasliyana berkata kesihatan arwah datuknya mula merosot sejak Mac lepas dan sering keluar masuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Katanya mengikut perancangan, mereka sekeluarga mahu membawa Allahyarham ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan susulan namun tidak kesampaian.

Allahyarham M Daud Kilau, 85, disahkan meninggal dunia pada 4.46 petang semalam akibat jangkitan kuman dalam darah semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Semalam, anak sulung Allahyarham, Noraini Muhammad Daud, 58, berkata sepatutnya arwah bapanya perlu menjalani pembedahan kaki akibat jangkitan kuman namun terpaksa ditangguhkan.

Noraini berkata pembedahan itu ditangguhkan disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot akibat menghadapi pelbagai komplikasi penyakit antaranya jangkitan kuman dalam darah, sakit jantung, kencing manis dan masalah buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rohani Awang Ngah, 66, dan dua orang anak iaitu  Noraini dan Ahmad Zaini, 52, serta sembilan cucu dan dua cicit.

Penyanyi lagu malar segar, Cek Mek Molek itu sebelum ini pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap kencing manis selain sakit pinggang dan jantung tidak stabil.

- Bernama