Skip to main
Logo Malaysiakini

Kin Wah terkilan nama ditolak sebab tak pandai bahasa Mandarin

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pelakon yang kariernya semakin berkembang di Indonesia, Chew Kin Wah mendedahkan dia pernah ditolak daripada membintangi sebuah drama bersiri semata-mata kerana tidak boleh berbahasa Mandarin.

Kin Wah meluahkan rasa terkilan kerana stesen televisyen tempatan hanya mengutamakan pelakon yang fasih berbahasa Mandarin untuk berlakon drama Cina siaran mereka.

“Wakil dari stesen televisyen (TV) pernah bertanya kepada saya sama ada boleh berbahasa Mandarin atau tak.

“Apabila saya jawab hanya pandai bahasa Kantonis, mereka terus tak jadi beri peluang berlakon drama itu.

“Tapi saya jadi hairan kenapa stesen TV itu boleh pula siarkan drama Stephen Chow yang berbahasa Kantonis,” katanya.

Chew Kin Wah

Justeru, Kin Wah atau nama Islamnya, Anuar Abdullah berasa kecewa dengan stesen tempatan yang menurutnya tidak memartabatkan bahasa Kantonis dalam drama Cina terbitan mereka.

“Saya rasa bahasa Kantonis seperti diketepikan. Ia sebenarnya lebih popular dalam arena perfileman di Hong Kong.

“Sama juga seperti bahasa Melayu yang ada banyak dialek, bahasa Cina juga begitu.

“Selain Kantonis dan Mandarin terdapat banyak dialek lain dalam bahasa Cina iaitu Hokkien, Teochew, Hainan dan Fuzhou,” katanya lagi.

Kin Wah ditemui pada majlis pengumuman trailer filem terbaru lakonannya, Rain Town di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Rain Town yang mendapat arahan Tunku Mona Riza itu menggunakan versi bahasa Kantonis.

Naskhah itu dijadual menemui penonton pada 8 Feb depan dan turut dijayakan barisan pelakon seperti Susan Lankaster, Fabion Loo, Pauline Tan dan Wilson Lee.

Menguatkan lagi kenyataannya itu, Kin Wah, 58, berkata Tunku Mona Riza turut mengakui sukar mencari penyanyi yang boleh menghasilkan lagu dalam bahasa Kantonis untuk runut bunyi Rain Town.

Malah kata Kin Wah, sepanjang bergelar pelakon, hanya sekali dia berpeluang berlakon drama Kantonis.

“Saya berlakon drama itu sekitar 2022. Selepas itu, saya dapati kebanyakan drama terbitan tempatan dalam bahasa Mandarin.

“Dan apabila Tunku Mona Riza tawar berlakon filemnya yang berkisahkan masyarakat Cina, soalan pertama saya ialah dialek apa yang akan digunakan.

“Apabila dia jawab Kantonis, saya terus bersetuju berlakon di bawah arahannya,” ujar Kin Wah.

Selain itu, Kin Wah berkata dia teruja berlakon dalam filem berkenaan kerana lokasi penggambaran dijalankan.

Katanya, di Taiping, dia berada lebih dekat dengan keluarga selain dapat menikmati makanan sedap di bandar itu.

“Kali ini berbeza sebab lokasi penggambaran dekat dengan keluarga di Ipoh. Selalunya jika berlakon di Indonesia, semua sendiri.

“Saya juga teruja dapat berlakon bersama Susan, seorang pelakon lama yang hebat,” katanya lagi.