Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit Syaitan Munafik mahu salur kutipan pada waris Ashraf Sinclair, kru

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Produksi filem Syaitan Munafik berjanji akan menyumbangkan imbuhan kepada waris tenaga kerja yang meninggal dunia dan tidak sempat menyaksikan hasil kerja mereka di layar perak.

Pengarah Urusan United Nine Creative yang juga penerbit filem itu, Mohd Rosdi Shair berkata dia berazam untuk mengotakan janjinya jika filem itu memperoleh kutipan memberangsangkan.

“Selain Ashraf Sinclair, beberapa tenaga penggiat lain juga kembali ke rahmatullah iaitu pengarahnya, Majed Saleh serta pelakon S Shamsuddin dan Maidin.

“Tenaga penerbitan juga akan menerima imbuhan sekiranya kami berjaya mencapai sasaran kutipan," katanya.

Justeru, bagi membolehkan hasrat itu dilaksanakan, pihaknya menyasarkan seramai sejuta penonton akan ke pawagam untuk menyaksikan filem berkenaan.

Kata Rosdi, dia juga yakin dengan penampilan terakhir Ashraf - yang meninggal dunia tiga tahun lalu - sekali gus boleh mengubat kerinduan peminat untuk menyaksikan kelibat Allahyarham di layar perak.

“Kami tak meletakkan sasaran dengan kutipan wang sebaliknya berharap seramai sejuta penonton.

“Di Indonesia pula, saya berharap untuk menarik dua juta penonton melalui kemunculan dua pelakon negara itu, Dea Lestari dan Tessa Mariska,” katanya lagi.

Dari kiri: Ashraf Sinclair, Dea Lestari dan Tessa Mariska

Rosdi berkata demikian pada malam gala Syaitan Munafik yang diadakan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur kelmarin.

Untuk rekod, Syaitan Munafik yang menampilkan kerjasama barisan pelakon Malaysia-Indonesia itu mengambil tempoh 11 tahun untuk disiapkan.

Allahyarham Majid berjaya menyiapkan sebanyak 90 peratus filem itu manakala bakinya disempurnakan oleh pengarah kreatif MP Roslin.

Syaitan Munafik akan mula ditayangkan esok di 51 panggung di Malaysia manakala Brunei, 10 panggung.

Meskipun mengambil masa agak lama untuk disiapkan, Rosdi berkata filem itu masih relevan untuk ditayangkan.

“Saya tak takut untuk bersaing kerana yakin akan kemampuan cerita bergenre seram yang tak terlalu berat untuk ditonton dan menghiburkan untuk tontonan seisi keluarga.

"Tempoh yang lama diambil untuk disiapkan kerana kami alami masalah teknikal.

“Tapi dengan penambahbaikan aspek teknikal serta sepuluh peratus babak tambahan dengan kos RM300,000 di samping kos asal RM1.6 juta, saya yakin filem ini akan diterima,” katanya.

Ditanya mengenai babak pelakon berkemban, Rosdi berkata memang pada asal timbul bantahan daripada pelakon.

Bagaimanapun tiada isu timbul selepas dimaklumkan babak itu bersesuaian dengan jalan penceritaan.

“Babak itu bersesuaian dengan proses menuntut ilmu hitam yang dipaparkan dalam filem itu dan bukan bertujuan mengeksploitasi artis.

“Tiada masalah langsung mengenai perkara itu kerana filem ini memaparkan kisah masyarakat yang sering diceritakan oleh orang tua kita pada masa dulu.

“Bahkan, Lembaga Penapisan Filem juga telah meluluskan tayangannya dengan potongan lima peratus saja,” jelasnya.