Skip to main
Logo Malaysiakini

Satu kerugian besar tarik diri dari AJL - Karyawan

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bimbang dengan tindakan beberapa artis dan komposer yang menarik diri daripada penyertaan pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, pihaknya amat bimbang dengan senario tersebut dan masa depan mereka kerana AJL menjadi platform terbaik yang mampu melonjakkan populariti artis dan komposer serta lagu mereka selain menyumbang kepada pendapatan yang tinggi jika berjaya ke peringkat akhir.

“Bagi saya, untuk tarik diri dari mengambil bahagian merupakan suatu tindakan yang kurang bijak yang akan merugikan mereka sendiri dalam jangka masa panjang,” katanya.

Tambah Freddie, AJL sudah membuktikan platform itu menganjurkan sebuah program paling popular dengan jutaan pengikut dan penonton antara peminat seni suara di Malaysia.

Katanya, selain menjana pendapatan tinggi, penyanyi yang menyertai AJL berpeluang menerima undangan untuk membuat persembahan serta peningkatan populariti lagu dalam kalangan peminat disertai sekali dengan tontonan tinggi di pelbagai platform media sosial.

“Jadi bagi saya tak masuk akal ada yang memilih untuk tarik diri atas sebab-sebab yang kurang jelas, iaitu perjanjian antara Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima.

“Saya pun tak pasti apakah kaitan perjanjian itu dengan AJL kerana tiada sebarang penjelasan dalam mana-mana media yang membuat liputan atas perkara ini.

“Jika ia melibatkan bayaran duit apa yang saya faham ialah pihak Media Prima ada membuat bayaran royalti berjuta ringgit setiap tahun kepada dua badan kutipan royalti iaitu Music Authors' Copyright Protection (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM) untuk karya muzik dan rakaman yang digunakan dalam siaran radio dan televisyen,” katanya.

Menurut Freddie, hal itu berjaya memberi imbuhan yang signifikan setiap tahun kepada komposer dan penulis lirik tempatan selain ahli RIM dan MPA melalui dua badan kutipan itu.

“Jadi apa lagi masalah dan tuntutan yang dimaksudkan itu?”

“Artis dan komposer dinasihati menjalinkan hubungan baik dengan stesyen penyiaran utama seperti Media Prima dan mendapatkan sokongan berterusan untuk kerjaya mereka melalui semua program popular stesen televisyen mereka termasuk AJL, Melodi, Malaysia Hari Ini, Jom Heboh dan lain-lain serta penyiaran lagu-lagu melalui stesen radio kepunyaan Media Prima yang amat popular.

”Jadi saya menasihati artis dan komposer untuk elak melakukan satu kesilapan besar dan terus menyertai program AJL yang paling berprestij ini untuk kekalkan hubungan baik dengan semua media di bawah Media Prima serta menentukan suatu masa depan yang lebih cerah bagi diri mereka,” katanya.