Skip to main
Logo Malaysiakini

Aaron Aziz elak jadi pengarah 'besar kepala'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Serik melalui pengalaman perit berlakon di bawah arahan seorang pengarah sebelum ini membuatkan Aaron Aziz bersikap lebih bertimbang rasa terhadap kru produksi apabila duduk di kerusi sutradara.

Bagi Aaron, menyandang status sebagai seorang pengarah tidak melayakkan mana-mana individu berperangai buruk terhadap pekerja-pekerjanya.

“Ada orang dah jadi pengarah dia ingat boleh buat sesuka hati tapi hasil yang dapat suam-suam kuku saja.

“Apabila melayan orang lain dengan rasa hormat, pasti orang itu juga akan membalas layanan kita dengan baik.

“Begitu juga di set penggambaran, kerja berpasukan yang baik amat penting kerana ia akan buat pelakon bekerja dengan bersungguh-sungguh.

“Itu sebab saya tak mahu jadi pengarah yang besar kepala, nanti pelakon tak ada hati (mood) nak bekerja,” katanya.

Bukan setakat itu, Aaron, 47, juga berasa bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan kru produksinya dengan baik.

Pemilik nama penuh Aaron Mustapha Aziz itu berkata, ia misalnya dengan memastikan mereka mendapat bayaran tepat pada masanya.

“Walaupun dah jadi pengarah, saya sedia maklum soal bayaran kerana saya juga bekerja sebagai pelakon.

“Justeru, saya akan pastikan penerbit bayar gaji pada waktu yang sewajarnya,” katanya pada majlis tayangan filem Sayu Yang Syukur di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Karya kedua arahan Aaron yang muncul selepas Romeo Kota itu berkisahkan cabaran perlu ditempuhi watak Liana sewaktu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari kampung.

Sejak mengalami kemalangan dan bertembung dengan Qudaim dan Adam, Liana sering mengalami tekanan perasaan apabila mengenangkan peristiwa tragis yang membuatkan maruahnya tercalar.

Dari situ, pelbagai konflik mulai tercetus terutama membabitkan pekerjaannya kerana Liana bertanggungjawab membimbing mangsa-mangsa rogol kembali pulih daripada trauma dialami.

Selain Aaron, karya yang akan menemui penonton di pawagam tempatan pada 28 Disember ini turut dijayakan pelakon seperti Nora Danish, Arja Lee, Raja Emma, AR Badul, Ahmad Tarmimi Siregar dan Kismah Johar.

Mengenai Sayu Yang Syukur, Aaron berkata, karya berkenaan terpaksa ‘diperam’ hingga lapan tahun sebelum ditayangkan ekoran berdepan pelbagai kekangan.

Menurut pelakon Ombak Rindu itu, filem tersebut antaranya terpaksa melalui proses suntingan yang agak lama selain tayangannya ditunda ekoran penularan Covid-19.

“Proses suntingan ambil masa agak lama kerana versi asal terlalu panjang apabila nak ditayangkan, negara kita berada di bawah perintah kawalan pergerakan pula,” katanya.