Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Aneh dan peliknya Pendatang

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Semenjak dilancarkan untuk tayangan umum pada 21 Dis lalu filem Pendatang arahan Ken Kin (lakon layar oleh Lim Boon Siang) boleh jadi naskhah paling aneh yang akan kita kenang buat jangka masa panjang.

Paling tidak kita akan mengenang tentang kaedah filem itu dihasilkan serta cara ia muncul di tengah-tengah kebejatan perlawanan politik kepartian yang kuat dengan sentimen agama dan perkauman.

Masyarakat berbilang kaum dalam negara ini - khususnya pemikiran Melayu yang kompleks terhadap isu-isu etnik, kaum dan ras yang sering rencam dan selalu celaru - tentu saja tidak mudah untuk menerima atau difahamkan.

Idea filem seperti Pendatang seandainya dibawa ke stesen tivi atau Finas bagi tujuan pendanaan pasti akan ditendang awal-awal kerana mengundang rasa tidak senang.

Bagaimanapun melalui usaha pendanaan awam (crowdfunding) yang mencatatkan hampir 600 nama penyumbang, akhirnya idea itu menghasilkan filem.

Rata-rata penyumbang adalah rakyat biasa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama yang cintakan filem.

Mereka juga tentunya tahu hasil kerja penerbitnya, Amir Muhammad dan Elise Shick, yang bertanggungjawab menciptakan produk-produk keluaran Kuman Pictures.

Subjek, objek dan isu yang didatangkan pada khalayak barangkali adalah sebahagian daripada sebab munasabab mengapa filem itu muncul di platform umum, tidak berbayar dan disiarkan sepenuhnya tanpa iklan seperti YouTube.

Namun apa yang menarik tentang Pendatang bukanlah tentang watak dan perwatakan yang biasa. Atau struktur penceritaan linear yang sederhana tapi langsung tidak membosankan.

Sebaliknya Pendatang jadi menarik kerana cara subjek seperti rasisme itu diangkat melalui penerapan dalam naratif yang antiidealisme.

Terperangkap di kampung

Konotasi istilah pendatang memang sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif, kotor, licik dan jahat.

Pendatang menurut bahasa ialah orang asing yang datang atau masuk ke sesebuah negeri lain. Pendatang ialah orang mendatang yang menurut kefahaman kebanyakan orang sebagai penumpang yang akan sampai kiamat pun akan terus menjadi penumpang.

Justeru pendekatan bukan konvensional dengan menerbalikkan isu seserius rasisme menjadi sesuatu yang antiidealis ketimbang menampakkannya sebagai sesuatu yang ideal seperti dalam banyak filem-filem kenegaraan yang tidak akan pernah kita ingat adalah kebijaksanaan yang menjentik kebusukkan prejudis perkauman.

Pendatang yang masih punyai kesempatan untuk kita tonton di YouTube itu akan membawa kita berkenalan dengan satu keluarga Cina Malaysia tipikal yang dihantar ke sebuah kampung tinggalan orang Melayu dalam sebuah wilayah distopia di Semenanjung Malaysia.

Pendatang jadi sangat menarik apabila dunia distopia yang diciptakan oleh filem itu amat masuk akal serta sangat meyakinkan. Bahkan distopia yang ditunjukkan itu adalah dunia yang sangat dekat dengan kita.

Permulaan hidup baru Wong, Shan, Xin dan Bobby di perkampungan itu bukanlah sepenuhnya atas kerelaan. Pun begitu ia juga bukanlah paksaan.

Demikianlah mereka semua terperangkap di kampung tersebut bersama beberapa watak lain seperti Botak dan Auntie Koo yang tersepit dengan situasi dan pengalaman hitam permainan politik watak lain.

Mereka memanafaatkan isu perkauman sebagai peluang untuk berkuasa dan mengumpul kekayaan.

Suatu aspek kebiasaan yang sering tidak dipandang menjadikan Pendatang memiliki kelebihan yang besar adalah aspek bahasa yang digunakan.

Kolokial atau bahasa percakapan bersifat basahan yang digunakan dalam dialog (bahasa Kantonis, bahasa Melayu dan bahasa Tamil) dalam filem itu berjaya menimbulkan gaya yang mencorakkan watak dan penceritaan.

Hal itu semakin jelas terpancar sewaktu komunikasi di antara Wong, Shan, Xin dan Bobby dengan Panda - yang akhirnya dikenali sebagai Raifa - itu menjadi semakin kerap dipaparkan.

Harus diketahui bahawa dalam filem, selain penciptaan watak dan perwatakan, dialog yang akan diungkapkan oleh watak-watak juga bukanlah proses yang mudah untuk dilakukan.

Patut ambil langkah wajar

Hal itu kerana dialog-dialog tersebut haruslah mampu menyampaikan teks dan subteks yang mencapai makna yang dapat disirat bagi menonjolkan perwatakan dan membuka jalan penceritaan.

Apa yang mengundang kepelikan ialah apabila seorang pengerusi Finas hanya mampu membuat satu status di media sosial untuk menyatakan bahawa Pendatang “harus ditayangkan di sekolah bagi membuka lebih banyak perbincangan, dan merungkai persepsi dan prasangka yang lebih mendalam.”

Mungkin dia percaya ia adalah langkah kecil bagi menuju tujuan yang diinginkan oleh filem Pendatang.

Pelik mengapa harus dia mengeluarkan kenyataan sedemikian sekiranya Pendatang boleh ditonton oleh semua orang secara percuma di Youtube bahkan tanpa gangguan iklan.

Apabila Finas langsung tidak terlihat mahu memainkan peranan yang lebih utama menyokong filem sepenting Pendatang - selain hanya menaikkan status di media sosial pengerusinya - maka terbogellah perkara yang bukan-bukan.

Ia tidak akan jadi sesuatu yang bukan-bukan seandainya pengerusi Finas itu menyatakan mereka bakal mengambil langkah untuk memastikan filem seperti Pendatang dapat ditayangkan di sekolah seluruh Malaysia.

Menonton Pendatang akan membuat kita lebih pasti dan yakin bahawa nasib industri perfileman tempatan di tangan Finas hanya lebih banyak kepelikkan dan keanehan.

Maka untuk mengetahui nasib filem Malaysia di tangan Finas adalah sama dengan pengakhiran filem Pendatang.

Pelik dan aneh, bukan?


HARIS HAUZAH ialah lelaki Melayu Islam yang selalu jadi pendatang dalam mimpi orang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.