Skip to main
Logo Malaysiakini

Yang paling menggemparkan dunia hiburan sepanjang 2023

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Tahun 2023 menyaksikan industri hiburan terus menggamit memori suka dan duka melibatkan isu semasa.

Selain mereka yang menempa nama di persada antarabangsa, tidak kurang juga isu-isu lain dalam kalangan artis yang wajar dijadikan sempadan dan teladan.

Dengan tahun 2023 bakal melabuhkan tirainya beberapa jam lagi, Malaysiakini menyajikan 11 berita terhangat yang mewarnai dunia hiburan sepanjang tahun ini.

1. Mentega Terbang dianggap memesongkan, mencabar akidah

Selepas maklum balas orang ramai dan penelitian dibuat, filem arahan Khairil Anwar yang mula ditayangkan di platform Viu disahkan bertentangan dengan akidah dan cara hidup umat Islam di negara ini oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ia susulan beberapa adegan dipaparkan seperti pelakon remajanya sengaja memakan pau berinti babi serta bapanya yang membenarkan dia memilih agama untuk dianuti selain Islam.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan bagi penayangan filem kontroversi itu pada 21 Ogos lalu.

Khairil dan Meng Kheng Entertainment kemudian mencabar perintah tersebut menerusi permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Sept lalu.

2. Desakan batal Konsert Coldplay

Konsert sulung kumpulan terkemuka dari United Kingdom, Coldplay di Malaysia, Music Of The Spheres World Tour pada 22 November lalu mendapat bantahan hebat sejumlah pihak kerana kumpulan itu dipercayai mempromosi budaya hedonisme serta amalan LGBT yang bercanggah dengan syariat Islam.

Bukan setakat itu, bantahan juga dibuat ekoran penganjuran konsert di saat bumi Palestin diserang Israel dilihat sebagai tidak sensitif terhadap konflik tersebut.

Tidak kurang juga, ada segelintir ahli politik menuding jari menyalahkan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana meluluskan penganjuran konsert tersebut.

Bagaimanapun, Anwar yang bercakap di Dewan Rakyat sehari sebelum konsert berlangsung memaklumkan konsert itu diluluskan kerajaan terdahulu. Dia bahkan meraikan band tersebut yang menyokong Palestin.

Music Of The Spheres World Tour di Kuala Lumpur yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dibanjiri 85,000 peminat berlangsung dengan aman susulan peringatan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengenai “suis pemati” sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

3. Syamsul Yusof nikah Ira Kazar ketika masih beristerikan Puteri Sarah

Selepas dikatakan empat tahun mengunci mulut mengenai hubungannya dengan orang ketiga, pengarah Syamsul Yusof akhirnya mengumumkan dia sudah menikahi Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari lalu.

Lebih memanas apabila pernikahan itu berlaku ketika pelakon Puteri Sarah Liyana masih isteri Syamsul. Puteri Sarah kemudian memfailkan penceraian pada 16 Januari lalu kerana tidak rela dimadukan.

Kontroversi tidak terhenti setakat di situ. Sebaliknya lebih banyak isu dalam kain terbongkar apabila kes penceraian pasangan itu mula dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Namun, kemelut berpanjangan pengarah filem Munafik itu dan Puteri Sarah akhirnya menemui noktah apabila mereka rasmi bercerai talak satu pada 14 Jun lalu.

4. Michelle Yeoh wanita Asia pertama genggam Oscar

Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh mencipta sejarah apabila menjadi wanita Asia pertama merangkul trofi Anugerah Akademi atau Oscar ke-95 di Teater Dolby di Los Angeles, 13 Mac lalu.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan cemerlang sebagai Evelyn Wang dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Filem arahan Daniel Kwan and Daniel Scheinert itu mengisahkan seorang wanita imigran yang penat dan tidak dapat menyelesaikan isu cukai.

Melalui lakonannya itu, Michelle turut memenangi beberapa trofi lagi antaranya, Pelakon Wanita Terbaik Muzikal atau Komedi pada Anugerah Golden Globe dan Pelakon Wanita Terbaik di Screen Actors Guild Awards.

5. Hafidz Roshdi tumbuk Syuhada, mengaku bipolar

Pelakon Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk pipi - isterinya ketika itu - Nurul Shuhada Mat Shukri hingga luka dalam kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di Kuala Kubu Bharu pada 2 Mac lalu.

Susulan itu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 13 Mac lalu memerintahkan Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak bagi menjalani rawatan psiakiatri. Mahkamah Kuala Lumpur menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 6 dan 7 Feb tahun depan.

Rentetan kes mencederakan isteri itu, Hafidz mengakui dia menjalani rawatan berkala di sebuah hospital berikutan masalah mental yang dialami sejak tiga tahun lalu.

Insiden tercetus selepas Syuhada meluahkan perasaan di media sosial, mendakwa pelakon drama Tundukkan Playboy itu bermain kayu tiga.

Kemelut rumah tangga Hafidz dan Syuhada berakhir selepas mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, 27 Julai lalu.

Hafidz yang sebelum itu menafikan dakwaan berlaku curang akhirnya memilih untuk menikahi wanita yang dituduh menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya, Athira Yuhada Ab Ghafar, 15 Disember lalu. Hafidz juga mengakui Athira adalah cinta pertamanya.

6. Kaka Azraff dipecat Warner Music gara-gara konflik Palestin-Israel

Isu kontrak penyanyi Kaka Azraff bakal ditamatkan oleh Warner Music lebih awal mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan segelintir pengguna media sosial apabila alasannya didakwa berkaitan dengan konflik Palestin-Israel.

Netizen turut menunjukkan solidariti terhadap Kaka dan mengecam tindakan syarikat rakaman terbabit.

Ia susulan maklumat dan identiti Kaka dipaparkan di laman akaun Instagram ditubuhkan Israel, Jew Hate Database (DB) kerana tindakan penyanyi Gila itu melemparkan komen ke atas pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic.

Akaun terbabit yang dihasilkan bertujuan menjatuhkan mana-mana individu menyatakan sokongan terhadap Palestin menyifatkan tindakan Kaka sebagai antisemitik.

Warner Music mengesahkan pihaknya sudah menamatkan kontrak penyanyi itu beberapa jam sebelum Kaka melangsungkan sidang media berhubung isu tersebut. Keputusan itu dibuat Warner Music atas alasan tindakan Kaka menggunakan bahasa tertentu pada Nathaniel yang dianggap tidak selari dengan polisi global.

Kaka dalam sidang media berkenaan menyatakan isu penamatan kontrak itu tidak melemahkannya sebagai individu, malah melihatnya sebagai jihad kecil kepada saudara Islam di Palestin.

7. Yasin Sulaiman lepas bebas kes dadah, diarah ke hospital bahagia

Pada 29 November lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman daripada tiga kes dadah yang dihadapinya.

Bagaimanapun, hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan Muhammad Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Faiz berkata ia selepas mahkamah mendapati tertuduh ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam ketiga-ketiga pertuduhan.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Muhammad Yasin juga didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu di kediamannya di Kota Damansara di Petaling Jaya, pada 5.30 petang, pada tarikh yang sama.

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pertuduhan mengedar dadah ditarik dan Muhammad Yasin dituduh dengan pertuduhan baru iaitu memiliki kanabis seberat 193.7 gram.

8. Ismahalil sujud syukur bebas, terlepas pertuduhan edar dadah

Bekas penyampai radio (DJ) Ismahalil Hamzah menangis dan membuat sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan dia tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dengan berat keseluruhan 374.6 gram (g) dua tahun lalu

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan melepas dan membebaskan pengasas Bapakku FM itu selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati.

Sebelum ini, Ismahalil yang merupakan saksi pembelaan pertama memberitahu mahkamah yang bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Semarak, iaitu tempat dadah ditemukan ketika serbuan polis, bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses pihak lain.

9. Farid Kamil, Diana Danielle rujuk semula selepas sebulan cerai

Farid Kamil mengaku sudah kembali ‘rujuk’ dengan Diana Danielle pada 31 Ogos lalu.

Pendedahan dibuat pengarah dan pelakon itu dalam sebuah program hiburan yang disiarkan hujung September lalu.

Menurut bintang Anwar: The Untold Story itu, pengalaman lalu telah mematangkan mereka.

Kata Farid, kesepakatan untuk rujuk semula adalah kerana agama.

10. M Daud Kilau meninggal dunia

Bintang legenda digelar Raja Gelek, M Daud Kilau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan (HTI), Perak pada 18 Disember lalu.

Allahyarham yang terkenal dengan imej unik dan dendangan malar segar seperti Cek Mek Molek sebelum itu dilaporkan kritikal selepas mengalami sesak nafas.

Selain itu, tahun 2023 turut menyaksikan negara kehilangan permata seni lain seperti pemain dram terkemuka yang digelar ikon irama Jazz Malaysia Lewis Pragasam, seniman legenda Wahid Satay, penyanyi Ibnor Riza, pelakon Badrul Muhayat, penyanyi veteran Julie Sudiro dan penyanyi Bad Indigo.

11. Perkahwinan Sabri Yunus, Angeline Tan dituduh tidah sah

Pengarah popular Sabri Yunus menamatkan zaman dudanya dengan memilih Angeline Tan sebagai teman hidup.

Majlis akad nikah Sabri dan pasangannya itu disempurnakan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Angeline memilih nama Ardini sebagai nama Islamnya.

Namun, seorang pendakwah menuduh perkahwinan itu tidak sah kerana tidak memenuhi akad ijab dan qabul yang sepatutnya.

Pendakwah itu malah mendakwa pasangan tersebut akan melakukan zina. Bagaimanapun, Sabri berkata dia terlebih dulu merujuk kepada pandangan ulama lain berhubung isu dibangkitkan.