Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit umum dua pengarah Pendekar Awang: Darah Indera Gajah

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Penerbit Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Studio Kembara menjelaskan kira-kira 35 peratus hasil kerja pengarah Areel Abu Bakar digunakan dalam versi penuh sekuel filem itu, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Penerbit yang juga pemilik Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Mt Dali berkata, filem itu selebihnya disempurnakan oleh dua pengarah, iaitu Shahruddin Dali dan Saiful Reza yang dipilih bagi menggantikan Areel.

“Keputusan untuk mengganti pengarah dibuat kerana bimbang ada sudut-sudut yang boleh menjejaskan produk akhir (filem).

“Jadi, atas faktor itu kita rasa perlu ambil alih untuk siapkan,” katanya ketika ditemui sebaik selesai tayangan perdana Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di sebuah kompleks beli-belah di Putrajaya hari ini.

Abdul Rahman Mat Dali

Bagaimanapun, Abdul Rahman mendakwa tiada sebarang isu yang menjadi punca dia menamatkan khidmat Areel sebagai pengarah asal filem berkenaan.

“Sebenarnya tiada masalah apa pun. Biasalah, penerbit (ambil langkah itu) kalau mereka rasa perlu tambah baik lagi sesuatu produk mereka,” katanya.

April lalu, Areel tiba-tiba digugurkan tanpa alasan rasmi walaupun dia didakwa telah menyiapkan filem itu sebanyak 90 peratus.

Areel yang juga pengarah filem Walid mengakui pengguguran itu mengakibatkan dirinya murung selama tiga hari namun hatinya terubat selepas karyanya berjaya mendapat tayangan di Los Angeles dan New York.

Areel Abu Bakar

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah berkisahkan usaha Tok Gajah ke Terengganu bagi mendapatkan sokongan dan bantuan pahlawan dan Sultan Terengganu.

British yang mendapat tahu perkara itu kemudian cuba menangkap Tok Gajah dan Awang menyebabkan mereka berdepan pelbagai rintangan dan pertempuran dalam usaha memastikan misi itu terlaksana.

Filem itu dijayakan barisan pelakon seperti Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amerul Affendi dan Hasnol Rahmat. Naskhah itu bakal menemui penonton di pawagam pada 11 Januari ini.

Untuk rekod, kos Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sudah mencecah RM15 juta termasuk bagi tujuan promosi.

Pada sidang media sama, pengarah dan penulis skrip Shahruddin berkata pihak produksi sedikit pun tidak berniat untuk merahsiakan nama pelakon yang menjayakan filem itu.

Sebaliknya kata Shahruddin, pihaknya memilih pendekatan untuk menyiapkan penggambaran terlebih dulu.

“Apabila dah siap semuanya baru kita hebahkan semuanya,” katanya.

‘Nak bawa kisah yang belum diceritakan’

Mengulas mengenai penceritaan skrip, Shahruddin berkata ia diaduk antara fiksyen dan kisah benar.

Daripada segi penggunaan dialog pula, dia berkata ia tidak menekankan penggunaan bahasa baku bagi memudahkan penonton memahami dan menikmati filem itu.

“Alur cerita ini bukan fiksyen tapi diinspirasikan daripada kisah sebenar.

“Untuk penggunaan dialog saya tak tekankan ayat yang terlalu baku atau klasik agar penonton lebih mudah faham selepas mendengarnya,” jelasnya.

Tambahnya, segala kisah benar yang disumbat dalam sekuel itu berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum menghasilkan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

“Saya mahu membentangkan sebuah untold story, jadi saya ambil inisiatif dengan berjumpa sendiri cucu cicit pahlawan Melayu ini dan tak bersandarkan kepada buku semata-mata.

“Saya rasa kita juga perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber dan bahan lain kerana kita paparkan kisah yang belum pernah dengar. Dengan itu rasa ia akan jadi lebih menarik,” katanya lagi.