Skip to main
Logo Malaysiakini

Fazura: Jangan cari silap, tonton dengan minda positif

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pelakon Nur Fazura menitipkan pesanan secara umum agar penonton jangan mudah terburu-buru mengkritik sebelum menonton filem terbaru lakonannya, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Isteri pelakon Fattah Amin itu berkata demikian susulan tercetusnya polemik di media sosial berhubung busana karakter para srikandi yang digayakan dalam naskhah berkenaan.

“Harapan saya kepada penonton adalah jangan cari silap, tapi cuba tonton dulu dan datang tonton dengan minda positif.

“Macam penerbit beritahu tadi, kita belum tengok lagi filem itu tapi sudah kritik awal-awal.

“Saya tahu di luar sana ramai suka kritik filem Melayu, justeru apabila dah keluarkan karya yang berkualiti sebegini, apa kata kita sama-sama mendukungnya.

“Ini kerana saya rasa mesej disampaikan bagus serta berasaskan agama serta menyuntik semangat juang dalam diri kita,” katanya.

Fazura, 40, juga berkata dia yakin dengan keputusan pengarah untuk memilih apa-apa kostum yang dirasakan sesuai kerana dia pastinya telah membuat kajian terlebih dulu mengenai keseluruhan jalan cerita yang ingin disampaikan.

Malah kata aktres itu, pakaian digunakan pelakon wanita direka bagi memudahkan pergerakan terutama apabila skripnya banyak menuntut srikandi untuk bertempur.

“Dari segi logik, pakaian itu memang memudahkan srikandi untuk berperang bahkan ia juga dicipta untuk menutup aurat kami,” katanya lagi.

Fazura berkata demikian selepas majlis pratonton Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di sebuah kompleks beli-belah di Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini tular komen pengguna media sosial yang mengecam busana diperagakan pelakon wanita yang disifatkan tidak sesuai kerana terlalu bertutup-litup.

‘Bimbang jatuh kuda’

Mengulas cabaran yang perlu ditempuhinya, Fazura berkata dia antaranya perlu menjayakan babak menunggang kuda yang menimbulkan kerisauannya.

Katanya, dia bimbang jika terjatuh sewaktu melakonkan aksi dikehendaki pengarah dan sekali gus mendatangkan kesan buruk pada saluran peranakannya.

“Sewaktu jalani hari pertama di set saya dah cedera. Tapi memang setiap hari saya ada berdoa jangan jatuh kuda sebab mana tahu jika teringin nak bersalin lagi.

“Walaupun ada asas tunggang kuda sejak kecil tapi saya tetap risau tentang peranakan saya.

“Apabila saya tengok adik-adik lain berlakon sampai kuda mereka jatuh, saya pun jadi risau juga,” katanya lagi.

Pun begitu, Fazura menafikan dirinya sedang merancang untuk hamil anak kedua.

Katanya, ketika ini dia masih terikat dengan kekangan jadual lakonan, justeru enggan kehamilan mengganggu kesihatan diri dan bayinya.

“Saya dan Fattah ada perancangan keluarga, tak mahu nanti dah tandatangan kontrak tiba-tiba hamil.

“Saya lihat ramai rakan-rakan yang tiba-tiba hamil dan situasi itu menjejaskan kesihatan mereka dan bayi dikandung.

“Sebagai manusia bertanggungjawab ini langkah yang saya kena ambil supaya boleh beri komitmen sepenuhnya pada karier,” katanya lagi.