Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Pedagang agama di mata Shahnon

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Shahnon Ahmad (13 Jan 1933 - 26 Dis 2017) tidak sempat menulis kerenah ustaz yang menggunakan ruang solat di masjid untuk membodohkan orang lain.

Penerima anugerah Sasterawan Negara pada 1982 itu juga tidak terjebak dengan golongan yang kononnya penceramah bebas tapi akal mereka terkepung dalam kepompong yang sempit.

Membaca novel, cerpen dan artikel Shahnon adalah mentelaah intelektual seorang profesor yang prihatin pada nasib Melayu, umat Islam dan lingkaran kemiskinan penduduk luar bandar.

Shahnon bukan penceramah bebas di masjid dan tentunya dia tidak terangsang untuk memperlekehkan orang yang tidak sehaluan dengannya. Shahnon seorang genius seni dan sasterawan besar.

Saya mengenal Shahnon menerusi Ranjau Sepanjang Jalan. Novel itu hidup di hati saya kerana Kampung Banggol Dedap yang terletak di daerah Sik, Kedah hampir sama dengan kampung saya di Kelantan.

Kampung tradisi adalah paparan kepada kemiskinan, kekecewaan dan perjuangan desa yang sering gagal sejak turun-temurun.

Kampung tradisi adalah sawah padi tidak jauh perdu getah. Kemiskinan adalah orang tua kami yang tekun menadah kitab sebaik pulang dari sawah atau selepas menoreh pokok getah.

Ada dimensi baru

Saya akui tidak terlalu rapat dengan Shahnon. Hanya beberapa kali kami bertemu.

Pernah bertelefon ketika insan yang membahasakan dirinya ‘Cikgu’ itu mengusulkan saya agar menyambung pelajaran seni kreatif di Universiti Sains Malaysia pada pertengahan 1980-an.

Ketika itu saya bertugas di akhbar Watan yang beroperasi di Taman Tun Dr Ismail. Pejabat itu tidak jauh dari Sungai Penchala yang menjadi markas kumpulan Al-Arqam.

Ada lorong kecil menuruni bukit yang menjadi laluan di antara Sungai Penchala ke Taman Tun Dr Ismail. Saya kerap bertemu dan makan bersama pengikut Al-Arqam, malah ada yang menyarankan saya berusrah di tempat Penchala.

“Jika syeikh nak kekal terus pun boleh sebab kami ada penerbitan sendiri. Jemaah perlukan orang media untuk eratkan ukhwah,” saran seseorang.

Pada hari yang lain pula saya disarankan berjodoh dengan ustazah yang juga berasal Kelantan. “Kalau syeikh mahu, kita permudahkan. Satu ke, dua ke…”

Saya senyum. Tak tahu nak kata apa-apa. Yang pasti ketika itu Shahnon sudah dikaitkan sebagai ahli jemaah mereka.

Novel Shanon tidak lagi tentang pacat, lintah dan sepat di Banggol Dedap kerana dimensi baru kehidupan sudah muncul dalam karya seni. Novel Ummi & Abang Syeikhul terbit pada 1992.

“Malam ini malam giliran siapa? Ana dah lupa. Malam giliran Ummikah?" Begitu manis kalau Abang Syeikhul berseloroh. Mereka ketawa kecil dan suasana berubah menjadi begitu tenteram dan enak.

"Malam ini malam giliran Kak Jawaher," kata Ummi tak segan-silu lagi. Lagipun Ummi isteri termuda sekarang ini. Kalau tambah seorang lagi, Ummi jatuh nombor tigalah.

Ummi tahu Abang Syeikhul hanya berjenaka sahaja. Masakan Abang Syeikhul lupa malam itu malam giliran siapa.

Novel itu menyingkap pengalaman Ummi yang menjadi isteri ketiga kepada Syeikhul. Wanita itu digambarkan sebagai seorang isteri yang patuh mendengar arahan suami dan bahagia hidup bersama dua orang lagi madunya iaitu Kak Jawaher dan Kak Siti.

Mereka bersepakat untuk memuaskan nafsu suami yang kononnya pejuang agama. Suami pula menggunakan pelbagai dalil untuk memuaskan nafsu peribadi atas alasan supaya dapat fokus kepada kerja berdakwah.

Dalil untuk berdakwah

Ummi dan dua madunya sanggup mencari seorang ‘adik’ lagi buat Abang Syeikhul kerana dijanjikan syurga sebagai isteri yang berkorban demi suami.

Sebelum Ummi dan Abang Syeikhul, Shahnon menghasilkan novel Tok Guru. Kepincangan nafsu golongan yang kononnya alim didedahkan melalui karya pada 1988 itu.

"... Kata Tok Guru peranan isteri cukup senang kalau hendak masuk syurga iaitu selalu cuba menjinakkan nafsu suami; terutama suami yang alim. Kerja orang alim adalah berdakwah, kata Tok Guru, kerana itulah peranan yang diamanahkan oleh Allah kepadanya.

"Kerja dakwah amat mulia kerana menyeru manusia ke jalan yang benar, kata Tok Guru lagi. Tapi banyak musuhnya bagi pendakwah kata Tok Guru lagi.

"Salah satu musuh pendakwah ialah nafsu jantinanya yang selalu hendak menyesat pendakwah itu. Inilah tugas utama isteri pendakwah: menundukkan nafsu suami. Kalau isteri tak boleh tunduk seorang diri, dia kena cari orang lain supaya orang lain itu pun jadi isteri juga.

"Itulah sebabnya Islam membolehkan lelaki kahwin empat, kata Tok Guru. Ini khusus untuk orang alim terutamanya ..."

Novel Tok Guru mengisahkan kehidupan sebuah keluarga yang terdiri daripada Mamak Merican, Mami Yam, Mumdas, Cumbi dan Mirasa yang menjadikan Islam sebagai tunggak dalam kehidupan.

Mereka berguru dengan seorang alim yang bergelar Tok Guru. Kelazimannya, Tok Guru akan menghadirkan diri di rumah Mamak setiap malam Jumaat untuk mengajar keluarga itu tentang ilmu agama.

Sejak kehadiran Tok Guru, kehidupan Mamak sekeluarga berubah. Mamak menjadi begitu taasub kepada Tok Guru. Dia memasang niat menjadi pendakwah dengan menjejaki kehidupan Tok Guru.

Mami pula mula menyedari bagaimana peranannya untuk menjadi seorang isteri yang solehah manakala Cumbi mula memasang angan-angan untuk menjadi seorang isteri yang solehah kepada kekasih hatinya, Mubarak.

Shahnon mendedahkan pesta seks dalam kalangan ustaz yang mahir menggunakan dalil untuk berdakwah, sekali gus pendakwah perlu diredakan alat kelamin mereka menerusi poligami.

Mereka menggunakan hujah sunnah beristeri empat untuk meramaikan jemaah yang menjadi pendakwah masa depan.

Pada era Shanon berkarya, belum timbul perdebatan tentang pemuda al-Kahfi atau ustaz selebriti seperti yang berkecamuk sekarang.

Kerap beri amaran

Memang di kiri kanan Shanon adalah pendakwah yang tegas mempergunakan mimbar dan ruang solat untuk berceramah dan mengajar.

Ketika itu - walaupun sudah ada isu tauliah berceramah di masjid dan surau - tidak ada isu keadaan tular seperti sekarang. Kini media sosial termasuk YouTube menjadi wadah orang memanjangkan dongeng atas nama agama.

Masyarakat pula mudah dikelirukan oleh penyesat agama yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi.

Kini kisah 'ustaz' melakukan perbuatan khianat seperti amang seksual di pusat tahfiz bukan lagi sesuatu yang aneh. Tidak lagi terselindung personaliti terkenal didakwa mencabul.

Begitu juga kes-kes mahkamah yang melibatkan individu digelar ustaz atau agamawan yang melampau sama ada dalam perbuatan, kata-kata mahupun kedua-duanya.

Dekad ini umat Islam berdepan cabaran besar kerana yang didepani bukan sahaja krisis ekonomi dan akhlak, bahkan maksiat daripada golongan yang memperalatkan agama.

Shahnon kerap memberi amaran agar agama tidak diperalatkan. Karya ahli akademik itu adalah penentangan terbukanya kepada golongan yang bertopengkan Islam.

Jika masih ada, tanggal 13 Jan ini usia Shahnon 91 tahun. Salam ulang tahun cikgu! Al-Fatihah.


IMLAN ADABI adalah sasterawan era 1980-an.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.