Skip to main
Logo Malaysiakini

Radio Ikim kini dikenali sebagai Radio IKIMfm

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) mengumumkan mulai Jan ini Radio Ikim akan dikenali sebagai IKIMfm dengan menyasarkan pelbagai golongan pendengar untuk terus mendapat inspirasi dari setiap rancangan yang disiarkan.

Dengan wajah baru, IKIMfm turut memperkenalkan slogan (tagline) ‘Inspirasi Utama Anda’ serta membawa strategi kandungan yang mengangkat tema inspirasi kepada semua.

Langkah itu diambil selepas pelantikan Pengarah Pusat Media Ikim, Ahmad Fuad Mat Ali, pada bulan lalu.

Ahmad Fuad menyifatkan barisan penyampai yang bertenaga, kandungan rancangan yang lebih segar, dan mengekalkan penyampaian mesej dakwah menjadi identiti IKIMfm memacu objektif institusi itu menyampaikan kefahaman Islam kepada masyarakat di negara ini.

Penjenamaan semula itu, katanya, menjadi wadah penting dalam penyampaian IKIMfm dalam usaha meletakkan radio itu sebagai sumber inspirasi kepada para pendengar.

Menurut Ahmad Fuad, IKIMfm melaksanakan beberapa strategi baru melalui pengisian kandungan rancangan yang lebih banyak menyentuh isu-isu semasa dan terkini selain penampilan wajah-wajah baru sebagai baris hadapan radio.

"Pendengar IKIMfm akan disajikan dengan siri rancangan pengajian kuliah melalui pendekatan pengajian berkitab yang diterbitkan," katanya.

Antara rancangan itu ialah pengajian Matan Zubad pada setiap Khamis jam 10 pagi, Bicara Darah Wanita (10 pagi Isnin), Eksplorasi Minhaj (3.10 petang Khamis), dan Mutiara Hadis yang membicarakan tentang Hadis 40 Imam Nawawi (3.10 petang Jumaat).

Menurut Ahmad Fuad, IKIMfm akan menjadi media yang terkehadapan dalam membincangkan isu-isu Palestin sebagai isu ummah yang tidak hanya diperkatakan mengikut musim, sebaliknya dibicarakan sepanjang tahun.

Oleh itu, katanya, IKIMfm menyajikan rancangan Cinta Palestin yang bersiaran setiap hari Khamis pada pukul 8.30 pagi.

Selain itu, IKIMfm akan menambah baik beberapa rancangan, termasuk berbentuk pengajian tafsir al-Quran menerusi rancangan Lembayung al-Quran bersama Zahazan Mohamad (jam 6.40 pagi setiap hari).

Turut ditambah baik ialah rancangan Pesona D’Zahra yang diubah waktu siaran ke jam 5 petang setiap Isnin bagi memenuhi permintaan ramai.

“Perubahan positif ini diharap akan mengukuhkan lagi jenama radio IKIMfm.

"Menjadi misi utama kami agar setiap rancangan yang disiarkan memberi manfaat kepada masyarakat sekali gus melebar luas ruang pemasaran kepada pengiklan yang berminat memasarkan produk mereka di radio IKIMfm," katanya.

Seiring dengan kemajuan digital, kata Ahmad Fuad, IKIMfm juga menyediakan platform audio podcast sebagai pilihan bagi membolehkan pendengar mengikuti rancangan radio secara lebih kerap mengikut keperluan dan masa mereka.

"Kesemua audio rancangan radio yang dibekalkan di podcast adalah dari segmen Inspirasi Pagi, Inspirasi Ilmu, Inspirasi Jiwa, Kembara Inspirasi dan Suara Inspirasi.

"Kini pendengar boleh mengikuti kesemua rancangan IKIMfm pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada melalui audio podcast yang disediakan," katanya.

- Bernama