Skip to main
Logo Malaysiakini

Fattah tak goyah pengarah Pendekar Awang berubah

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Senario bertukar pengarah sedikit pun tidak melemahkan semangat pelakon utama Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Fattah Amin, untuk menghidupkan wataknya dalam filem itu.

Kata Fattah, apabila seseorang pelakon berdepan situasi sedemikian, mereka wajar mengambil pendekatan terbaik bagi mencapai matlamat yang ditetapkan pengarah.

“Sudah pasti akan ada sedikit perubahan corak penggambaran dan ya, saya akui itu juga termasuk antara cabaran perlu ditempuhi seseorang pelakon.

“Tapi saya rasa ia bukan masalah besar selagi pelakon terbabit komited untuk memberikan yang terbaik. Justeru sudah pasti dia akan berbincang dengan pengarah bagi merealisasikan hajatnya," katanya.

Tambah Fattah dia percaya setiap pengarah ada misi yang mahu disampaikan melalui filemnya, dan begitu juga seseorang pelakon.

Kerana itu, katanya, perlu ada sikap suka bertanya sewaktu menjalani penggambaran.

Fattah, 33, juga tidak lupa memanjatkan kesyukuran apabila wataknya yang kecil dalam filem terdahulu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, kini dikembangkan sebagai teraju utama dalam Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Menganggap ia satu penghormatan besar buatnya, suami kepada Nur Fazura itu juga sedar pada masa sama dia memikul tanggungjawab yang berat juga untuk meyakinkan penonton agar membeli tiket bagi menonton filem berkenaan.

“Filem ini adalah kesinambungan daripada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang kita tahu mencatatkan kutipan tertinggi dalam negara.

“Sudah pasti penonton mahukan satu karya yang lebih bagus. Jadi, saya 'takut' dengan jangkaan penonton,” katanya.

Bersedia sejak enam bulan

Fattah berkata demikian selepas selesai majlis tayangan Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di sebuah kompleks beli-belah di Putrajaya semalam.

Pada majlis sama, Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali, mengumumkan dua nama Shahruddin Dali dan Saiful Reza sebagai pengganti sutradara terdahulu, Areel Abu Bakar.

Abdul Rahman menjelaskan, tiada sebarang masalah di antara Studio Kembara dengan Areel namun tindakan menukar pengarah itu dibuat bagi mengelak sudut-sudut yang boleh menjejaskan produk akhir filem berkenaan.

Selain Fattah, pelakon lain yang turut menjayakan filem itu adalah Fazura, Wan Hanafi Su, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Nadhir Nasar, Nam Ron dan Amir Ahnaf.

Filem itu bakal menemui penonton di pawagam tempatan bermula 11 Jan ini.

Berkongsi suka dan duka menjiwai watak Pendekar Awang, Fattah berkata, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk dihimpit jadual bekerja yang melebihi 24 jam.

Bukan setakat itu, kata Fattah, dia juga mengalami kecederaan ringan sewaktu menjayakan salah satu babak aksi dalam filem berkenaan.

“Persediaan dibuat enam bulan sebelum penggambaran, tapi kaki saya awal-awal penggambaran sudah terkehel. Ini membuatkan saya terfikir: bolehkah saya jayakan babak lain lepas ini.

“Kalau bahagian latihan kuda atau memanah bagi saya biasa-biasa saja, pasti tangan akan jadi merah-merah tapi paling tak boleh dilupakan ialah satu babak perlu dilakonkan lebih 24 jam.

“Perkara seperti ini penonton tak akan nampak kerana ia berlaku di belakang tabir, jadi saya harap hargailah usaha sebegini dan sokong filem tempatan,” katanya.