Skip to main
Logo Malaysiakini

Peminat bakal saksikan jelmaan semula Elvis Presly versi AI

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Peminat Raja Rock ‘n Roll, Elvis Presley yang terlepas melihat bintang mereka beraksi ketika dia masih hidup berpeluang melihat persembahan penyanyi itu akhir tahun ini di London melalui ciptaan teknologi maya.

Menurut Pengasas dan Ketua Eksekutif Layered Reality, Andrew McGuinness, Elvis Evolution akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan unjuran holografik, realiti tambahan dan teater secara langsung untuk mencipta semula suasana serta muzik ketika Elvis masih hidup.

“Ia akan menjadi perayaan yang cukup menggembirakan; lelaki itu, muzik, dan warisan budayanya,” katanya dipetik Reuters.

Pengunjung akan dibawa melawat Tupelo, Mississippi, tempat Elvis dilahirkan pada tahun 1935 dan kediamannya di Memphis, Tennessee serta Las Vegas.

“Acara kemuncaknya adalah pelawat akan merasai pengalaman menonton persembahan Elvis secara AI,” katanya.

Untuk rekod, Layered Reality membuat perjanjian dengan Authentic Brands Group, pemilik harta pusaka Elvis Presley, untuk membangunkan Elvis Evolution.

Menurut Andrew, syarikat Britain itu diberi akses kepada ribuan gambar peribadi bintang itu serta berjam-jam rakaman video Elvis bagi memudahkan mereka mencipta persembahan baru menggunakan AI.

Penyanyi itu yang diminati secara global diiktiraf secara meluas sebagai artis terlaris sepanjang zaman dengan jumlah melebihi 500 juta rekod terjual, satu pencapaian yang belum dapat diatasi walaupun selepas 46 tahun Elvis meninggal dunia.

Penyanyi itu meninggal dunia selepas serangan sakit jantung. Mendiang ketika itu berusia 42 tahun.

Biografi dihasilkan Baz Luhrmann yang diterbitkan pada 2022 meraih ramai peminat dari generasi baru bintang itu manakala filem diarahkan Sofia Coppola pada 2023, Priscilla meneroka hubungan rumit penyanyi berkenaan dengan isterinya.

Selepas London, Elvis Evolution akan menjelajah ke bandar lain termasuk Las Vegas, Tokyo dan Berlin.