Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan kaitkan buka tudung dengan sihir - Ahmad Dusuki

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Penceramah agama, Ahmad Dusuki Abd Rani menempelak kenyataan Nonny Nadirah apabila pelakon dan penyanyi itu mengaitkan imejnya sudah tidak bertudung dengan gangguan sihir.

Kata Ahmad Dusuki, meskipun Nonny mendakwa dirinya menjadi mangsa sihir, hal itu sudah pasti tiada kena mengena dengan perbuatannya yang menanggalkan tudung.

“Buang tudung bukan sihir tapi peel! (tingkah laku).

“Janganlah dikaitkan kemaksiatan dengan gangguan sihir,” katanya.

Menurutnya, apabila seseorang wanita tidak lagi bertudung, dia disifatkan membuka aurat yang berterusan.

Kata Ahmad Dusuki, tindakan itu sekali gus melanggar hukum Tuhan dan agama.

“Lalu didedahkan kepada orang ramai, justeru ia merupakan dosa yang berpanjangan,” katanya.

Ahmad Dusuki Abd Rani

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan Nonny yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 5 mendakwa dirinya menjadi mangsa sihir sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, keadaan dirinya kembali pulih selepas menjalani rawatan dengan perubatan Islam serta mengamalkan bacaan ayat-ayat al-Quran.

Nonny juga mendakwa, akibat disihir oleh seseorang yang dikenali, raut wajahnya menjadi senget sebelah selain ia mempunyai kaitan dengan imejnya yang sudah tidak bertudung.

Pada 2021, nama Nonny mengundang perhatian apabila memuat naik video dengan penampilan seksi sekali gus mencetus kebimbangan dalam kalangan rakan-rakannya.

Namun, sekitar pertengahan tahun lalu dia kembali bertudung apabila bertemu dengan penyanyi dan usahawan Mila Jirin.

Bagaimanapun, Ahmad Dusuki tidak menolak sekiranya perubahan pada wajah Nonny berpunca daripada angkara sihir seseorang kepadanya.

“Ya ada kemungkinan wajah yang senget itu disebabkan perbuatan sihir,” katanya.