Skip to main
Logo Malaysiakini

Motac agih set busana tradisional etnik ke pejabat kedutaan

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menyerahkan 20 set busana tradisional beserta aksesori lengkap etnik-etnik utama di Malaysia untuk diagihkan kepada 20 pejabat perwakilan Malaysia yang strategik di luar negara.

Menurut Motac, inisiatif itu merupakan fasa penyerahan kedua oleh kementerian terbabit selepas penyerahan pertama kepada 10 pejabat perwakilan Malaysia di luar negara pada 27 Jan 2022.

“Motac selaku peneraju diplomasi budaya meneruskan inisiatif diplomasi budaya fasa kedua melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Luar dan Pertubuhan Kraf Malaysia bagi memperkasa program dan aktiviti seni, budaya dan warisan negara selaras dengan hala tuju Dasar Kebudayaan Negara (Daken) 2021.

“Majlis penyerahan disempurnakan secara bersama oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing dan Menteri Luar, Mohamad Hassan di Putrajaya semalam.

“Program itu merupakan komitmen bersepadu antara Motac dan Wisma Putra untuk meningkatkan kefahaman khalayak antarabangsa terhadap aspek citra budaya Malaysia.

“Ia juga akan membantu perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara mempromosikan seni dan budaya negara serta mengukuhkan kolaborasi budaya dengan pertubuhan -pertubuhan kebudayaan antarabangsa,” katanya.

Pejabat yang menerima set busana tradisional itu ialah Kedutaan Brunei Darussalam, Australia, Belanda, Itali, Rusia, Afrika Selatan, UAE, New Zealand, AS, Uzbekistan, Sepanyol, Indonesia, Vietnam, Brazil, Argentina, Qatar, Kanada, Austria dan Maghribi.

Salah satu set yang akan diserahkan ialah baju kebaya yang merupakan pakaian melambangkan warisan budaya dan identiti orang Melayu, Peranakan Cina, Chitty dan masyarakat lain di Malaysia serta negara-negara lain di Asia Tenggara.

Motac kini dalam usaha mengangkat kebaya untuk mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang akan dicalonkan secara bersama dengan negara Brunei, Singapura dan Thailand.

Menurut kenyataan itu lagi, Wisma Putra juga komited dalam mengangkat usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 bersama Motac.

Katanya, kerjasama antara Motca dan Kementerian Luar dalam usaha diplomasi budaya itu juga dilihat berupaya meningkatkan martabat seni dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama strategik antara kedua-dua agensi kerajaan ini dapat membantu meningkatkan lagi imej positif negara seterusnya mengangkat kuasa lunak Malaysia secara tidak langsung di arena antarabangsa.

“Inisiatif diplomasi budaya ini turut mendukung aspirasi Malaysia Madani ke arah mewujudkan negara yang mampan dan makmur berdasarkan keterangkuman budaya yang diamalkan oleh seluruh masyarakat di negara ini,” katanya.