Skip to main
Logo Malaysiakini

Mega Zikir Terapi 4 Palestine tangkis stigma konsert bawa unsur negatif

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Penganjuran konsert Mega Zikir Terapi 4 Palestine: Harmony For Humanity bukan setakat inisiatif mengumpulkan dana tetapi menangkis stigma masyarakat terhadap acara yang membawa konotasi negatif.

Perunding dan pengarah konsert itu, Fitri Haris, berkata orang ramai selalu mengaitkan konsert dengan perkara-perkara yang tidak baik sedangkan jika dilakukan dengan cara yang betul, banyak manfaat boleh diperolehi.

“Inilah peluang dan masa untuk mereka datang beramai-ramai dan menghayati pengisian rohani sambil menderma sebagai tanda solidariti untuk saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.

Tambah Fitri, konsert itu hadir selepas kejayaan Mega Zikir Terapi yang dijayakan di Zepp KL, Sept tahun lalu.

Menurutnya, konsert yang dijadual berlangsung di Istana Budaya jam 8 malam ini dianjurkan bersama Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang dipelopori oleh Nadir Al-Nuri dalam perjuangannya membangunkan semula Gaza.

“Jualan tiket semuanya habis. Berikutan pengalaman yang menggalakkan itu, kami meneruskan penjenamaan tapi perbezaannya ialah ia khusus untuk Palestin.

“Cinta Gaza Malaysia tidak putus-putus membantu kami, jadi kami fikir untuk mengetengahkan usaha bantu Palestin melalui konsert ini.

“Konsert ini hasil pembiayaan melalui dana awam dan 100 peratus kutipan tiketnya akan disalurkan kepada Palestin melalui Cinta Gaza Malaysia,” katanya.

Konsert berkenaan dijangka menampilkan 15 lagu yang mengandungi tujuh alunan zikir dan lapan lagu yang dipersembahkan oleh kumpulan nasyid yang terkenal dengan Doa Qunut iaitu, UNIC.

Pelbagai artis dan personaliti yang menyertai persembahan itu dibawa masuk oleh NGO dan syarikat rakaman masing-masing secara percuma.

Antaranya Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang membawakan UNIC, Inteam dan Farhatul Fairuzah, serta Syria Care yang menampilkan Furqan Fawwaz, Khai Bahar dan Ikhwan Fatanna.

Selain konsert, orang ramai turut dijemput menghadiri pelbagai aktiviti dan pengisian yang disediakan seperti pameran, pertandingan, reruai jualan dan sebagainya sepanjang hari.