Skip to main
Logo Malaysiakini

Sophia Albarakbah fokus kerjaya, enggan tahun baru dibayangi kontroversi

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Sempena kedatangan tahun baru, pelakon yang namanya tidak pernah sunyi dilanda kontroversi, Sophia Albarakbah berazam untuk memastikan dirinya tidak terpalit sebarang gosip lagi.

Kata Sophia, dia ingin memenuhkan ‘buku baru’ tahun ini dengan kisah-kisah menarik berpaksikan kerjayanya.

“Cukup-cukuplah kontroversi yang pernah melanda kerana saya tak mahu kisah silam diungkit lagi.

“Saya tak mahu peminat kenal saya kerana pelbagai cerita kontroversi dan bukannya bakat lakonan dipertaruhkan,” katanya.

Pada masa sama, Sophia, 30, juga bersyukur, walaupun namanya dibayangi kontroversi, ia sedikit pun tidak menyekat pintu rezekinya.

Malah katanya, dia lega kerana diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah drama serta filem sepanjang tahun ini.

“Kini, bukannya masa untuk saya menoleh ke belakang lagi. Saya mahu fokus untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

“Saya bersyukur agenda seni padat hingga hujung tahun ini,” katanya.

Menurut Sophia, dia antara lain akan muncul melalui empat filem yang akan ditayangkan di pawagam tahun ini.

Katanya, antara filem berkenaan adalah Jiwa 8 Belas terbitan While Merpati Entertainment Sdn Bhd yang menuntutnya untuk membawa watak utama bernama Fatien.

“Saya dapat tawaran berlakon dalam filem Jiwa 8 Belas ini melalui proses uji bakat pada penghujung 2018,” katanya mengenai filem yang mendapat arahan S Baldev Singh itu.

Selain Sophia, karya itu turut menampilkan pelakon seperti Shah Hazvee, Izuan Ramli, Ikhram Juhari, Kanda Khairul, A Galak, Jalaluddin Hassan, Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Aman Graseka, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S.

Naskhah yang berkisahkan jiwa remaja itu akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 18 Januari ini.

Ditanya pengalaman mencabar, kata Sophia, dia mengalami kecederaan dan kakinya lebam-lebam ketika menjayakan babak diculik penjahat yang mahu menjualnya dalam filem itu.

“Saya perlu melakonkan babak melarikan diri dalam hutan dan sungai tanpa memakai kasut ketika dikejar penjahat.

“Selain itu, ada juga babak muka saya dicelup dengan air kotor dan berlumpur oleh penjahat,” katanya.