Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak jadi ahli, tak bayar yuran pun Karyawan sedia bantu

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tidak mengehadkan khidmat mereka hanya kepada artis yang berstatus ahli malah sedia membantu sekiranya ada mana-mana golongan itu yang memerlukan bantuan.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez mengulas demikian ketika industri seni semakin dihujani laporan mengenai artis yang diuji seperti terlantar sakit atau hidup dalam kesusahan khususnya tiada pekerjaan semasa sudah berusia.

“Sudah ramai artis yang kami bantu selama ini bukan ahli Karyawan. Takkan dia sakit atau susah tapi sebab bukan ahli kita tak perlu bantu?” katanya.

Tambah Freddie, Karyawan juga tidak terlalu memberatkan ahli sedia ada dengan peraturan perlu memperbaharui pendaftaran setiap tahun.

Atas faktor-faktor tertentu, katanya, Karyawan beranggapan ada antara pendaftaran itu yang bersifat untuk ‘seumur hidup.’

“Jumlah yang sudah mendaftar sebagai ahli Karyawan setakat ini adalah 4,000 orang tapi ramai antara mereka yang tak bayar yuran pun.

“Namun, kami tak batalkan pendaftaran itu kerana Karyawan anggap pendaftaran mereka yang sekali sebelum ini adalah bayaran untuk seumur hidup.

“Ini mungkin kerana bukan mereka sengaja tak mahu bayar sebaliknya memang tak mampu apabila dihimpit masalah kewangan atau sakit dan sudah tak bekerja.

“Kami tak mahu duit mereka, kita cuma mahu bantu,” katanya.

Freddie ditemui pada sidang media Kejohanan Golf Amal Selebriti edisi keempat anjuran Karyawan di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara amal yang menyasarkan kutipan dana sekurang-kurang RM50,000 itu akan berlangsung di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai pada 21 Jan ini.

Objektif utama penganjuran terbabit adalah untuk mengumpul dana bagi membantu artis kurang bernasib baik, terutama golongan veteran yang tidak sihat serta tidak dapat bekerja lagi.

Freddie berkata, Karyawan juga sedia menjadi penghubung atau pemudah cara untuk mana-mana artis yang berminat membuat persediaan atau memantapkan kemahiran perniagaan dengan agensi yang berkenaan.

Katanya, selain menghulurkan bantuan kepada golongan yang susah, mungkin ramai tidak tahu Karyawan juga berfungsi membantu artis menceburkan diri atau mengembangkan perniagaan.

“Karyawan juga mainkan peranan lain misalnya membantu artis melalui Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.

“Kita boleh membantu artis dari segi mengembangkan rangkaian perniagaan mereka. Penyanyi Noorshila Amin yang juga Ahli Jawatankuasa Karyawan ketika ini terbabit dalam bisnes.

“Sekiranya ada artis berminat sertai karnival boleh maklumkan kerana dia mempunyai hubungan baik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Freddie, semua usaha berkenaan tidak akan dapat digerakkan sekiranya artis itu sendiri tidak mempunyai inisiatif mahupun tampil berbincang dengan Karyawan terlebih dulu.

“Kita tak tahu siapa dalam kalangan artis yang memerlukan bantuan begini jika mereka tak bertanya.

“Janganlah harap boleh pandai sendiri buat pemasaran sekiranya tak mempunyai pengetahuan meluas misalnya,” kata Freddie.