Skip to main
Logo Malaysiakini

Rosyam akui isu rumah pelacuran untuk promosi Hitam Putih Kehidupan

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Hanya selepas kira-kira 48 jam berlalu, hari ini Rosyam Nor tampil menjelaskan bahawa cadangannya agar pihak berkuasa 'menghalalkan' pusat pelacuran khas itu adalah sekadar promosi untuk program podcastnya.

Mendakwa dia tidak menyangka isu tersebut akan tular, pelakon dan usahawan terbabit berkata dia yakin konteks cadangan itu akan difahami oleh orang ramai jika mereka berkunjung ke saluran YouTube syarikatnya, Suhan Channel.

“Kecoh satu dua hari ini pasal isu rumah pelacuran. Apa-apa hal pun, saya minta maaf dulu sebab tak sangka benda ini akan jadi viral.

“Ia sebenarnya adalah perbincangan. Jadi saya rasa baik semua orang kalau ada masa pergi ke Suhan Channel tengok keseluruhan video apa yang dibincangkan.

“Terima kasih peka dengan keadaan, sekali lagi saya minta maaf atas kecelaruan yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Rosyam melalui podcast Hitam Putih Kehidupan menyifatkan pusat pelacuran perlu ada untuk bagi menyelamatkan wanita tempatan daripada dirogol warga asing.

Pelakon Gila-Gila Remaja itu membangkitkan pekerja asing yang meninggalkan isteri mereka di negara asal dan bimbang sekiranya tidak dapat mengawal nafsu mereka apabila bekerja di sini.

Bagaimanapun, Rosyam menegaskan itu hanya pandangan peribadi seterusnya meminta penonton untuk menilai sendiri perbincangan itu di saluran berkenaan.

Pandangan itu meraih perhatian banyak pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Moktar yang menempelak cadangan dikemukakan Rosyam itu.

Mohd Na'im Moktar, berkata tidak ada sesiapa pun sepatutnya mengeluarkan kenyataan hingga menimbulkan polemik yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah katanya, kegiatan pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam.

Bekas pengarah eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah, berkata Rosyam sebenarnya tersalah faham dengan isu rogol.

Katanya jenayah itu boleh diatasi dengan mendidik orang ramai - khususnya lelaki - agar sentiasa menghormati wanita dan menerima hakikat bahawa mereka adalah setara.

Personaliti agama, Ridhuan Tee turut berkata cadangan dikemukakan Rosyam, 56, sebagai tidak wajar dan bodoh serta jahil kerana tidak berpaksikan agama sebaliknya mengikut hawa nafsu semata-mata.

“Ini bukan penyelesaian, ini cadangan yang teramat bodoh. Saya syorkan kepada mereka ini, pergilah mengaji.

“Jangan jadi artis yang jahil,” katanya sambil menyarankan agar Rosyam bertaubat.